
Penasihat Persatuan Penanam Avokado Sabah Jamawi Jaafar berkata ia juga berupaya menstabilkan harga avokado tempatan yang ketika ini lebih rendah berbanding import, walaupun kualitinya hampir sama.
“Sekurang-kurangnya bila ada harga lebih baik untuk pasaran tempatan, lebih ramai pengusaha akan menceburkan diri dalam penanaman avokado.
“Selama ini masyarakat memahami avokado tanaman luar negara, maka kita bergantung kepada import 85% manakala baki 15% ditampung pengusaha tempatan tapi kita masih bersaing dengan harga daripada avokado import,” kata bekas Adun Kemabong kepada FMT, memaklumkan keluasan tanaman itu di Sabah ketika ini sekitar 5,000 ekar.
Ketika ini harga avokado tempatan terus dari ladang adalah antara RM8 hingga RM10 sekilogram, manakala jualan di pasaran mencecah sekitar RM20 sekilogram.

Jamawi berkata, penetapan harga lebih stabil dan sokongan berterusan kerajaan akan memberikan keyakinan kepada pengusaha meluaskan lagi kawasan tanaman sekali gus meningkatkan pengeluaran domestik.
Bagi tujuan itu, beliau mencadangkan kerajaan menubuhkan sebuah lembaga untuk buah-buahan berpotensi tinggi seperti avokado dan durian selain menetapkan hala tuju jelas industri tanaman lain seperti nanas, lada hitam dan kelapa sawit.
Ahad lalu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim mempertahankan peluasan skop SST ke atas barangan import, menegaskan ia menyasarkan golongan berpendapatan tinggi.
Katanya, kerajaan memilih mengenakan cukai terhadap barangan lazim dinikmati golongan berada seperti avokado dan ikan kod berbanding membebankan rakyat berpendapatan rendah.
Pada 9 Jun, Kementerian Kewangan (MoF) berkata barangan pilihan tertentu seperti ketam ‘king crab’, salmon, ikan kod, cendawan truffle, buah-buahan import, minyak pati (essential oil), sutera dan jentera industri akan dikenakan cukai jualan 5% berkuat kuasa 1 Julai ini.
MoF turut menjelaskan hasil pertanian ditanam di Malaysia tidak akan dikenakan cukai jualan, menjawab laporan berita mempersoalkan pelaksanaan cukai ke atas buah-buahan tempatan.
Dalam wawancara bersama FMT, Ketua Setiausaha Perbendaharaan Johan Mahmood Merican berkata peluasan SST disasarkan secara strategik untuk menyokong permintaan terhadap hasil tani tempatan dan mengukuhkan keterjaminan makanan.
Sementara itu, pengusaha avokado di Pagoh, Johor, Joni Muhamat Yahya berkata langkah kerajaan mengenakan SST ke atas avokado import adalah penghargaan terhadap petani tempatan yang mengusahakan tanaman tersebut.

Dia yang mengusahakan tanaman itu di ladang seluas lapan ekar mencadangkan kerajaan menyediakan insentif khusus untuk membantu pengusaha tempatan memandangkan industri berkenaan sedang pesat berkembang.
“Peluang ini adalah terbaik bagi saya serta petani lain sebagai pengusaha avokado dan saya boleh meluaskan lagi tanaman dengan skala besar.
“Apa yang saya nampak di masa akan datang negara memerlukan avokado dalam makanan dan minuman. Kerajaan wajar membantu bagi meningkatkan pengeluaran,” katanya.