
Presidennya, Muhamad Hisham Marzuki berkata, laporan sedemikian tidak tepat, mengelirukan, dan tidak menggambarkan keputusan dan alasan penuh mahkamah, lapor Harakah Daily.
“Mahkamah tidak membatalkan keseluruhan fatwa, sebaliknya membuat keputusan yang terperinci dengan mengesahkan sebahagian dan mengetepikan sebahagian yang lain.
“Pembatalan hanya berlaku pada aspek-aspek yang melangkaui bidang kuasa perlembagaan negeri dan pemakaiannya kepada entiti bukan manusia,” katanya merujuk bahagian fatwa yang diguna pakai terhadap NGO hak asasi wanita, Sisters in Islam (SIS) Forum Malaysia.
Muhamad Hisham berkata, Mahkamah Persekutuan memberikan tiga alasan utama dalam keputusannya mengetepikan sebahagian fatwa.
“Tafsiran ‘orang yang menganut agama Islam’ … alasan utama fatwa tidak boleh terpakai kepada SIS sebagai sebuah syarikat adalah kerana mahkamah mentafsirkan frasa Perlembagaan ‘persons professing the religion of Islam’ sebagai merujuk hanya kepada manusia sebenar, bukan entiti buatan seperti syarikat atau pertubuhan.
“Mahkamah menjelaskan, sebuah syarikat, sebagai entiti buatan, tidak mempunyai kapasiti untuk melaksanakan Rukun Islam seperti melafazkan kalimah Syahadah, solat, puasa atau menunaikan haji.
“Dalam konteks yang sama, sebuah syarikat tiada kapasiti untuk bertaubat seperti yang dituntut oleh Perenggan 4 fatwa,” katanya.
Selain itu, katanya, mahkamah mendapati Perenggan 2 dan 3 fatwa itu tidak sah kerana ia bukan sepatutnya digubal oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor.
“Perkara berkaitan pengharaman penerbitan (Perenggan 2) adalah di bawah bidang kuasa persekutuan melalui Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984,” kata Muhamad Hisham.
“Perkara berkaitan sekatan kandungan internet (Perenggan 3) adalah di bawah bidang kuasa persekutuan melalui Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan melibatkan agensi persekutuan (SKMM).”
Bagaimanapun, katanya, tidak timbul isu syarikat atau institusi boleh terlepas kerana kebertanggungjawaban terletak di bahu individu-individu penggeraknya, yang tetap terikat bawah Perenggan 1 dan 4.
Mahkamah Persekutuan hari ini membenarkan rayuan SIS Forum dan pengasasnya Zainah Mahfoozah Anwar mencabar fatwa Jawatankuasa Fatwa Selangor mengisytiharkan pertubuhan itu menyeleweng daripada ajaran Islam pada 2014.
Panel empat hakim diketuai Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat dalam keputusan majoriti 3-1 megetepikan fatwa berkenaan, sejauh mana ia terpakai kepada syarikat dan institusi, lapor Bernama.
SIS Forum telah berusaha membatalkan fatwa yang mengisytiharkan organisasi itu menyimpang atas alasan ia didakwa menganut ideologi ‘liberalisme’ dan ‘pluralisme agama’.
Pertubuhan itu sebelum ini gagal dalam cabaran undang-undangnya di Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan antara 2019 dan 2023.