
Hakim Siti Aminah Ghazali menjatuhkan hukuman itu selepas bapa berusia 37 tahun tersebut mengaku bersalah terhadap dua tuduhan terhadapnya, lapor Berita Harian.
Mengikut tuduhan, lelaki itu yang bekerja sebagai pemandu lori didakwa merogol dua anak kandungnya di sebuah rumah di Klang pada jam 3 petang 10 Nov 2024 dan 7 pagi, 17 Mei lalu.
Ketika kejadian mangsa masing-masing berusia 10 dan 11 tahun.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 30 tahun dan tidak kurang 10 sebatan.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman dikurangkan dengan alasan dia mahu berubah selain perlu menyara dua anak serta isteri.
“Saya sangat menyesal perbuatan ini dan bertaubat tidak buat lagi. Harap mahkamah dapat dengar apa yang saya sampaikan dan kurangkan hukuman,” katanya.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Nurul Jannah Aimi memohon hukuman berbentuk pengajaran diberikan kerana ia kesalahan serius dan kekerapan kes jenayah seksual kanak-kanak di Selangor.
Mahkamah kemudiannya menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan 10 sebatan bagi setiap tuduhan. Bagaimanapun, hukuman penjara dibenar berjalan serentak tarikh tangkapan 14 Jun lalu.