
Fuadi Pitsuwan daripada Yayasan Surin Pitsuwan menyifatkan pengaruh Thaksin di Thailand sebagai ‘rapuh’, dan kebergantungan padanya ‘berbahaya’.
“Anwar harus percaya pada menteri luarnya sendiri, serta pasukannya, bukannya bergantung pada Thaksin,” katanya dalam perbincangan panel mengenai krisis Myanmar sempena Meja Bulat Asia-Pasifik ke-38 hari ini.
Awal tahun ini, sejajar peranan Malaysia sebagai pengerusi Asean, Thaksin dilantik sebagai ‘penasihat peribadi’ Anwar, dibantu oleh pasukan yang dianggotai ahli dari pelbagai negara Asean.
Anak perempuan Thaksin, Paetongtarn Shinawatra, kini perdana menteri Thailand, berdepan gesaan agar berundur susulan pendedahan perbualan telefon dengan bekas perdana menteri Kemboja Hun Sen.
Dalam perbualan itu, Paetongtarn didengar membincangkan pertikaian sempadan yang berterusan dengan Hun Sen, memanggil bekas pemimpin Kemboja itu sebagai ‘pakcik’ dan merujuk kepada panglima tentera Thai di timur laut negara itu sebagai lawannya.
Min Zin, seorang penganalisis politik dan pengarah Institut Dasar dan Strategi di Myanmar berkata, negara itu memerlukan Asean untuk menjaga kepentingannya dan menghalangnya daripada ‘terjerumus ke dalam lingkungan pengaruh China’, merujuk situasi ekonomi dan politik Myanmar yang tidak menentu akibat perang saudara.
Beliau juga menyatakan, gempa bumi besar berukuran 7.9 magnitud pada Mac lepas gagal mencetuskan rundingan antara kumpulan-kumpulan yang bertelagah.
“Gempa bumi itu tidak mampu wujudkan insentif yang mencukupi untuk pihak-pihak yang berkonflik berunding kerana peta konflik dan peta bencana tidak selari,” tambahnya.
Lilianne Fan daripada Kumpulan Penasihat Malaysia mengenai Myanmar berkata, rakyat Myanmar merasakan lebih banyak boleh dilakukan oleh Asean untuk menangani krisis itu, dan usaha-usaha sedemikian dihargai.
Katanya, Asean telah menunjukkan kreativiti dalam usaha membantu Myanmar, mengambil kira kekangan yang dihadapi oleh blok serantau itu.
“(Rakyat Myanmar) juga hargai usaha Malaysia membantu dan menyambut baik penginstitusian duta khas mengenai krisis tersebut,” tambahnya.
Sementara itu, Arnaud de Baecque daripada Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah berkata, usaha-usaha menyelesaikan krisis Myanmar mesti melangkaui bantuan kemanusiaan semata-mata.
“Bantuan kemanusiaan kepada Myanmar tidak dapat menyelesaikan krisis politik, lebih-lebih lagi krisis yang begitu kompleks,” katanya.
Myanmar dibelenggu perang saudara antara junta pemerintah dan pembangkang yang meluas termasuk pelbagai organisasi bersenjata.
Majlis Pentadbiran Negara Myanmar mengumumkan pada Mac, pilihan raya umum akan diadakan sama ada pada Disember tahun ini atau selewat-lewatnya Januari 2026, menurut laporan media antarabangsa.
Anwar sebelum ini mengakui, perkembangan konsensus lima perkara Asean berhubung Myanmar terbatas sejak beberapa tahun lepas, tetapi beliau agak puas hati dengan penglibatan dalam hal ehwal kemanusiaan baru-baru ini.
Malaysia pengerusi Asean pertama yang berjaya mengadakan libat urus dengan kerajaan awam dan junta Myanmar, menunjukkan bahawa libat urus tidak semestinya menandakan pengiktirafan.