
Pada 2014, Jawatankuasa Fatwa Selangor mengisytiharkan pertubuhan itu menyeleweng daripada ajaran Islam.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Mohd Na’im Mokhtar berkata beliau menghormati prinsip kedaulatan undang-undang dan keputusan kehakiman dibuat institusi kehakiman tertinggi dalam sistem perundangan negara itu.
“Keputusan ini akan diteliti secara menyeluruh demi memastikan kedudukan dan kewibawaan institusi fatwa tidak terjejas dalam jangka panjang.
“Saya ingin menegaskan bahawa fatwa tetap memainkan peranan penting dalam membimbing umat Islam dalam isu-isu semasa yang memerlukan panduan syariah,” katanya dalam kenyataan.
Menurut Na’im, kerjasama erat antara institusi kehakiman, perundangan dan pihak berkuasa agama penting supaya fungsi dan kewibawaan institusi fatwa kekal dihormati dalam kerangka sistem perlembagaan negara.
“Kerajaan Madani akan memastikan pentadbiran hal ehwal Islam di Malaysia dilaksanakan secara adil dan berlandaskan prinsip syura, ilmu serta berpaksikan lunas undang-undang negara.
“Pada masa sama, kerajaan Madani akan terus mempertahankan kedudukan institusi agama Islam selaras Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan bahawa Islam ialah agama bagi Persekutuan,” katanya.
Panel empat hakim diketuai Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat dalam keputusan majoriti 3-1 megetepikan fatwa berkenaan, sejauh mana ia terpakai kepada syarikat dan institusi.
Dalam menyampaikan penghakiman majoriti, ketua hakim negara berpendapat ungkapan ‘menganuti agama Islam’ dinyatakan dalam Butiran 1, Senarai II, Senarai Negeri dalam Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan, hanya merujuk kepada ‘orang sebenar’ (natural persons) dan bukan kepada entiti ‘buatan/tiruan’ (artificial) seperti sebuah syarikat.
“Kami membenarkan rayuan perayu-perayu (SIS Forum dan Zainah) setakat mana ia berkait dengan pemakaian fatwa tersebut kepada pertubuhan dan institusi, dan setakat mana fatwa tersebut menyentuh agensi dan kuasa agensi Persekutuan,” katanya.
Lain-lain hakim dalam panel itu adalah Presiden Mahkamah Rayuan Abang Iskandar Abang Hashim, dan hakim Mahkamah Persekutuan P Nallini dan Abu Bakar Jais.
Rayuan itu pada mulanya didengar oleh panel lima hakim, namun Hakim Abdul Karim Abdul Jalil telah bersara.
Penghakiman hari ini disampaikan mengikut Seksyen 78(1) Akta Mahkamah Kehakiman 1964, yang membenarkan hakim yang tinggal untuk menyampaikan penghakiman.
SIS Forum telah berusaha membatalkan fatwa 2014, yang mengisytiharkan organisasi itu menyimpang atas alasan ia didakwa menganut ideologi ‘liberalisme’ dan ‘pluralisme agama’.
Pertubuhan berkenaan sebelum ini gagal dalam cabaran undang-undangnya di Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan antara 2019 dan 2023.