
Menurutnya, dengan keputusan mahkamah tertinggi itu, pihak berkuasa agama mesti bertanggungjawab terhadap nilai Perlembagaan dan tidak menggunakan kuasa tanpa kawalan.
Katanya, selama lebih sedekad, SIS dilabelkan ‘sesat’ kerana memperjuangkan keadilan dan kesaksamaan dalam Islam.
“SIS menerima baik keputusan Mahkamah Persekutuan dalam menegakkan keluhuran Perlembagaan, kedaulatan undang-undang dan tanggungjawab semua institusi negara – termasuklah pihak berkuasa agama.
“Ini bukan sahaja kemenangan untuk SIS, tetapi kemenangan untuk semua rakyat Malaysia yang percaya kepada proses wajar, pengawasan demokrasi dan semangat Islam yang inklusif,” katanya dalam kenyataan.
Tegasnya, SIS tidak berhasrat menyerang Islam atau pihak berkuasa berkaitan, sebaliknya ia cabaran kepada proses tiada ketelusan, keadilan semula jadi dan kesaksamaan.
“Apabila sesebuah negara menggunakan Islam sebagai sumber undang-undang, dasar dan amalannya, akan tetapi hasilnya mendiskriminasi wanita dan melanggar kebebasan asasi manusia, maka kita sebagai rakyat mempunyai hak untuk mendapatkan semakan kehakiman.
“Kes ini bukan mengenai Islam, tetapi ia berkaitan undang-undang dan dasar awam yang mesti melalui perdebatan awam,” katanya.
Terdahulu, Mahkamah Persekutuan hari ini membenarkan rayuan SIS untuk membatalkan fatwa dikeluarkan Majlis Agama Islam Selangor (Mais) terhadapnya pada 2014.
Dalam keputusan majoriti, panel hakim diketuai Ketua Hakim Negara, Tengku Maimun Tuan Mat berpendapat, kes itu memerlukan campur tangan kehakiman.
Katanya, keputusan hari ini hanya berkaitan fatwa itu sama ada terpakai ke atas sebuah organisasi.
Jelasnya, fatwa tidak boleh dilaksanakan ke atas organisasi seperti SIS kerana ia tidak boleh ‘menganuti’ agama dan frasa ‘orang yang menganut agama Islam’ dalam Perlembagaan Persekutuan merujuk secara eksklusif kepada manusia, bukan entiti seperti syarikat atau organisasi.
SIS memfailkan rayuan untuk membatalkan fatwa dikeluarkan Mais pada 2014 bahawa NGO itu sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam kerana didakwa berpegang kepada fahaman liberalisme serta pluralisme agama.
Sebelum ini, ia gagal mencabar fatwa itu di mahkamah rendah pada 2019 dan 2023.