
Di Kelantan, wujud ketidakpuasan hati kerana parti tidak diberikan semula kerusi DUN Kota Lama dua tahun lalu, walaupun telah lama berkhidmat di kawasan berkenaan yang mempunyai 31% pengundi Cina.

“Kami dinafikan kerusi Kota Lama, yang merupakan kerusi tradisi kami,” kata Pengerusi MCA Kelantan, Chua Hock Kuan. Sebaliknya, Dr Hafidzah Mustakim dari Amanah yang dipilih, dan berjaya memenangi kerusi itu untuk gabungan kerajaan perpaduan.
Katanya, terdapat juga rasa tidak puas hati apabila MCA diketepikan daripada memegang sebarang jawatan kecil di negeri itu, menyebabkan ahlinya berasa mereka seperti bukan sebahagian daripada kerajaan perpaduan.
Beliau berkata Putrajaya tidak menawarkan sebarang jawatan ketua kampung kepada MCA Kelantan, namun itu tidak menghalang parti daripada terus berkhidmat kepada rakyat di peringkat akar umbi.
“Kami masih menjalankan kerja kami, menganjurkan program berasaskan komuniti dan perayaan tradisional Cina. Sepatutnya kita dalam satu ‘keluarga’, tetapi kita tidak dilayan begitu,” katanya.
“Kami tidak rasa seperti kami sebahagian daripada kerajaan perpaduan.”
MCA dan Umno menjadi sekutu politik sejak kemerdekaan lagi, bermula di bawah Parti Perikatan dan kemudiannya BN.
Bagaimanapun, pengaruh MCA sebagai wakil dominan pengundi Cina semakin merosot sejak PRU 2008, dengan sokongan masyarakat Cina beralih kepada DAP.
Kini, semua bahagian MCA di seluruh Semenanjung dan Sabah sedang mengadakan mesyuarat agung tahunan (AGM) masing-masing, manakala AGM peringkat negeri dijadual berlangsung bulan depan. Parti itu tiada cawangan di Sarawak.
Timbalan Pengerusi MCA Selangor, Tan Gim Tuan, berkata gesaan semakin meningkat agar parti keluar dari BN, dengan rasa kecewa dalam kalangan ahli yang merasakan kerajaan perpaduan tidak berbuat cukup untuk rakyat.
Katanya, parti menerima maklum balas yang kuat daripada akar umbi yang mahu MCA memainkan ‘peranan penting’ dalam politik negara dan bukannya kekal di pinggiran.

Tan berkata ramai ahli parti bimbang dengan pelbagai masalah negara, termasuk ketegangan hubungan antara kaum dan peningkatan kos sara hidup. Mereka merasakan keadaan tidak bertambah baik di bawah pentadbiran sekarang.
“Ekonomi tidak begitu baik dan kos sara hidup semakin meningkat. MCA banyak berjasa kepada masyarakat Cina tetapi apa yang diperjuangkan oleh mereka (DAP)?”
Tan berkata kira-kira 60% bahagian MCA di Selangor sudah bersidang, dan semua bahagian perlu menyerahkan senarai usul yang diluluskan kepada ketua MCA negeri selewat-lewatnya 29 Jun.
Beliau berkata bahagian-bahagian yang telah bermesyuarat masih berpegang teguh pada kepercayaan bahawa MCA boleh memainkan peranan yang bermakna dalam membentuk hala tuju negara, jika diberikan peluang.
“Mereka kata MCA ada pengalaman, telah melalui jatuh bangun bersama negara sejak merdeka. Parti mesti main peranan penting, lebih-lebih lagi ketika keadaan tidak menentu sekarang,” katanya.
Agihan kerusi penentu peranan MCA
Bekas Naib Presiden MCA, Ti Lian Ker, memberi amaran bahawa parti itu berisiko menjadi tidak relevan jika trend agihan kerusi sekarang berterusan, dengan DAP dan Umno dijangka mendapat manfaat daripada kerugian MCA.

“Jika formula agihan kerusi berdasarkan penyandang BN-Pakatan Harapan dikekalkan, MCA dan MIC akan menjadi pihak yang paling rugi.
“Ini dilihat seperti Umno mengetepikan sekutu BN, membolehkan DAP mendominasi berbanding MCA dan MIC, memandangkan DAP dan PH secara tradisinya bertanding di kerusi campuran milik MCA dan MIC,” kata ketua MCA Kuantan itu.
Jika itu berterusan, Ti memberi amaran MCA mungkin hanya tinggal dua kerusi Parlimen dan tujuh kerusi DUN pada PRU akan datang.
“Ini tidak adil kepada MCA sebagai anggota pengasas BN yang telah bekerjasama rapat dengan Umno sejak merdeka lagi.”
Naib Presiden MCA, Wee Jeck Seng, berkata kepimpinan tertinggi parti akan mendengar pandangan akar umbi dengan teliti sebelum membuat keputusan mengenai langkah seterusnya.

Wee, yang merupakan salah seorang daripada dua Ahli Parlimen MCA, berkata tidak semua pemimpin dan ahli akar umbi mahu parti keluar BN. Beliau berkata keputusan kepimpinan akan berpandukan kehendak akar umbi.
“MCA mesti mengkaji dinamik politik, termasuk bagaimana untuk memperkukuh parti dan bagaimana untuk kembali mendapat sokongan padu,” kata Ahli Parlimen Tanjung Piai itu.
Sementara itu, penganalisis politik Sivamurugan Pandian dari Universiti Sains Malaysia, menasihatkan MCA memastikan komunikasi berhubung masa depannya dalam BN dibuat secara dalaman, memandangkan mereka adalah sekutu lama.

“Apa juga komunikasi sesama ahli, ia seharusnya kekal dalam lingkungan BN. Gunakan saluran itu untuk berbincang bagaimana mahu mengembalikan BN sebagai pilihan rakyat. Jangan hanya bercakap soal keluar,” katanya.
Sivamurugan berkata MCA boleh memegang jaminan diberi Pengerusi BN, Zahid Hamidi, bahawa parti masih mempunyai tempat dalam kerajaan dan kelebihan dalam perbincangan agihan kerusi di masa depan.