Yusoff Rawther mahu rayuan rujukan Anwar didengar 21 Julai

Yusoff Rawther mahu rayuan rujukan Anwar didengar 21 Julai

Peguamnya menyatakan rayuan Perdana Menteri Anwar Ibrahim boleh dipercepatkan kerana rekod rayuan lengkap telah disediakan.

Anwar Ibrahim merayu keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonannya merujuk lapan persoalan undang-undang kepada Mahkamah Persekutuan bagi diputuskan, susulan saman sivil difailkan bekas pembantu penyelidik Yusoff Rawther.
PUTRAJAYA:
Peguam Yusoff Rawther memohon rayuan Anwar Ibrahim merujuk beberapa persoalan undang-undang dan perlembagaan ke Mahkamah Persekutuan didengar lebih awal dan ditetapkan untuk pendengaran pada 21 Julai.

Dalam surat kepada Presiden Mahkamah Rayuan Abang Iskandar Abang Hashim, firma guaman The Law Practice of Rafique menyatakan rekod rayuan telah lengkap kerana Mahkamah Tinggi telah mengeluarkan alasan penghakiman bertulis bagi penolakan permohonan Anwar.

“Pengurusan kes boleh diadakan lebih awal supaya rayuan itu dapat didengar dan diselesaikan pada 21 Julai,” menurut kandungan surat dilihat FMT.

Peguam berkenaan menyatakan rayuan itu hanya melibatkan persoalan undang-undang kerana tiada fakta dipertikaikan.

Pada 10 Jun lalu, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan membenarkan Anwar penangguhan sementara (ad interim) terhadap saman sivil difailkan Yusoff terhadapnya dan menetapkan 21 Julai bagi pendengaran penuh permohonan penangguhan.

Mahkamah Rayuan turut menetapkan 2 Sept bagi pengurusan kes rayuan utama. Rafique Rashid Ali, peguam yang mewakili Yusoff, mengesahkan perkara itu.

Susulan penangguhan sementara itu, perbicaraan saman dijadualkan bermula 16 Jun di hadapan Hakim Roz Mawar Rozian telah ditangguhkan.

Pada 4 Jun, Roz Mawar menolak permohonan rujukan Anwar dan memutuskan bahawa kesemua lapan persoalan dikemukakan gagal melepasi ambang ditetapkan dalam Seksyen 84 Akta Mahkamah Kehakiman 1964.

Dalam penghakimannya, beliau menyatakan permohonan itu tidak wajar dari segi bidang kuasa dan bergantung kepada doktrin spekulatif yang tidak mempunyai asas perlembagaan.

Anwar mahu Mahkamah Persekutuan memutuskan sama ada Perkara 5(1), 8(1), 39, 40 dan 43 Perlembagaan Persekutuan memberi beliau kekebalan bersyarat terhadap saman yang difailkan oleh Yusoff empat tahun lalu.

Saman itu berkaitan dengan kejadian yang didakwa berlaku sebelum Anwar menjawat jawatan perdana menteri pada 24 Nov 2022.

Yusoff mendakwa beliau telah diserang di rumah Anwar di Segambut pada Oktober 2018.

Beliau menuntut ganti rugi am, khas, teruk dan teladan, selain faedah, kos dan relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Anwar menafikan dakwaan itu dan telah memfailkan saman balas.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.