
Jamaliah dalam kenyataan berkata pemeriksaan oleh Lembaga Urus Air Selangor (Luas) di hilir dan hulu sungai tidak menemui sebarang punca pencemaran.

“Berdasarkan pemerhatian dan maklumat daripada pengadu serta hasil perbincangan di lokasi, kejadian itu disyaki berpunca aktiviti pembuangan secara one-off menggunakan lori,” katanya.
Menurut Jamaliah, pasukan Luas telah melakukan pensampelan air di lokasi aduan, hulu dan hilir sungai yang dihantar ke Jabatan Kimia untuk analisis lanjut.
“Pemantauan susulan juga akan terus dijalankan dari semasa ke semasa di lokasi aduan bagi memastikan tiada kejadian berulang,” katanya.
Beliau turut menasihatkan orang ramai sentiasa peka dan melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan atau insiden pencemaran sumber air kepada pihak berkuasa dengan segera.
“kerjasama orang ramai penting bagi memastikan sungai dan sumber air di Selangor kekal bersih, selamat dan lestari untuk kesejahteraan bersama,” katanya.