
Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata beliau dimaklumkan penjelasan mengenai perkara tersebut akan dibuat melalui sidang media atau kenyataan rasmi.
Fahmi berkata kerajaan sentiasa mengambil pandangan serius terhadap maklum balas yang diberikan berhubung semakan percukaian yang bakal dilaksanakan itu.
“Seperti yang umum sedia maklum, apa yang dikutip melalui hasil ini akan disalurkan untuk pembinaan seperti sekolah dan hospital,” katanya pada sidang media mingguan.
Pada 9 Jun, Amir berkata kerajaan akan melaksanakan semakan kadar Cukai Jualan dan peluasan skop Cukai Perkhidmatan secara bersasar berkuat kuasa 1 Julai, selaras pengumuman Belanjawan 2025 pada Oktober tahun lepas bagi mengukuhkan kedudukan fiskal negara dengan meningkatkan hasil dan meluaskan asas percukaian tanpa membebankan rakyat terbanyak.
Kadar Cukai Jualan kekal tidak berubah bagi barangan keperluan manakala kadar sama ada 5% atau 10% akan dikenakan ke atas barangan yang tidak penting atau mengikut budi bicara.
Skop Cukai Perkhidmatan akan diperluaskan merangkumi enam perkhidmatan baharu seperti penyewaan atau pajakan, pembinaan, kewangan, penjagaan kesihatan swasta, pendidikan dan kecantikan.