Reformasi fiskal tingkat dana perlindungan sosial, kata ahli ekonomi

Reformasi fiskal tingkat dana perlindungan sosial, kata ahli ekonomi

Madeline Berma berkata langkah itu termasuk peluasan skop cukai jualan dan perkhidmatan (SST) pada bulan depan.

Jamilah Saleh
Sumbangan Asas Rahmah (SARA) antara bantuan perlindungan sosial oleh kerajaan untuk meringankan beban golongan memerlukan.
PETALING JAYA:
Langkah reformasi fiskal termasuk peluasan skop cukai jualan dan perkhidmatan (SST) penting untuk meningkatkan perbelanjaan sosial dan bantuan bersasar kepada rakyat kebanyakan, kata ahli ekonomi.

Felo Institut Masa Depan Malaysia Madeline Berma berkata dengan status Malaysia sebagai antara pemungut hasil cukai terendah di Asia Tenggara, hasrat mencapai status negara maju menerusi pengukuhan jaringan keselamatan sosial sukar menjadi realiti.

Beliau berkata nisbah hasil cukai Malaysia kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada kadar 12.5% tahun lalu, berada bawah purata 34.1% ditetapkan Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD).

“Ketidakcukupan perlindungan sosial di Malaysia disebabkan beberapa faktor termasuk hasil cukai rendah dan perbezaan pendapatan.

madeline
Madeline Berma.

“Berbanding negara lain, perbelanjaan sosial Malaysia kepada peratusan daripada KDNK lebih rendah berbanding negara berpendapatan tinggi dan berpendapatan sederhana tinggi,” katanya kepada FMT.

“Reformasi fiskal termasuk peningkatan cukai penting untuk mewujudkan ruang mencukupi bagi meningkatkan perbelanjaan sosial dan bantuan bersasar.”

Justeru itu, Madeline berpandangan pertambahan hasil dijangka lebih RM5 bilion menerusi peluasan SST bermula 1 Julai depan boleh disalurkan kepada Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA).

Selain itu penambahbaikan infrastruktur serta perkhidmatan awam yang menurut Madeline mampu meningkatkan produktiviti sekali gus mengurangkan jurang golongan kaya dan miskin.

Menurutnya, langkah reformasi fiskal itu mampu mengatasi dua masalah utama dalam jaringan keselamatan sosial iaitu kekurangan perlindungan dan faedah.

“Terutamanya bagi pekerja tidak formal dan jurang dalam perlindungan persaraan, kesihatan dan kecederaan,” katanya.

Baru-baru ini, Ketua Setiausaha Perbendaharaan Johan Mahmood Merican berkata peluasan skop SST penting untuk mengukuhkan kedudukan fiskal negara dengan meningkatkan hasil bagi menambah baik mutu jaringan keselamatan sosial tanpa membebankan rakyat terbanyak.

Beliau berkata seramai 5.4 juta golongan berpendapatan rendah dan sederhana dijangka mendapat manfaat daripadanya.

Pada 9 Jun, Kementerian Kewangan memaklumkan kadar cukai sifar bagi keperluan asas dikekalkan manakala kadar antara 5% hingga 10% dikenakan ke atas barangan bukan keperluan antaranya ‘king crab’, ikan salmon, cendawan truffle dan buah-buahan import.

Cukai perkhidmatan pula akan diperluaskan merangkumi sewaan, pajakan, pembinaan, perkhidmatan kewangan, penjagaan kesihatan swasta dan pendidikan.

Bagaimanapun, perkhidmatan terutama membabitkan warga Malaysia terus dikecualikan ST antaranya jagaan kesihatan awam dan swasta.

Menyentuh kesan peluasan skop, Madeline tidak menolak mungkin ada syarikat akan memindahkan kos.

Namun beliau menjangkakan impaknya bersifat minimum memandangkan barangan keperluan asas tidak terbabit.

Perluas perlindungan sosial selepas bersara

Barjoyai Bardai
Barjoyai Bardai.

Sementara itu, Barjoyai Bardai mencadangkan pekerja mencarum dalam Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) lebih dua tahun dilindungi apabila sudah bersara, sebagai usaha perlindungan sosial komprehensif jangka panjang.

Ahli akademik dari Universiti Sains dan Teknologi Malaysia (MUST) itu berkata pencarum terbabit dilindungi dengan kadar pencen separuh daripada kadar gaji terakhir mereka.

“Kumpulan peniaga mikro, kecil dan sederhana dan bekerja sendiri termasuk petani, nelayan dan dalam perkhidmatan lain boleh diwajibkan untuk mencarum dalam skim takaful itu untuk mewujudkan perlindungan berkesan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.