Rakyat Malaysia dibawa keluar dari Iran Jumaat ini

Rakyat Malaysia dibawa keluar dari Iran Jumaat ini

Fahmi Fadzil berkata, jumlah rakyat Malaysia berdaftar yang berada di Iran tidak terlalu besar.

israel attack
Semalam, Wisma Putra menyeru semua rakyat Malaysia yang berada di Iran agar meninggalkan negara itu serta-merta susulan keadaan tidak menentu ekoran serangan tanpa provokasi Israel. (Gambar EPA Images)
PETALING JAYA:
Proses membawa keluar rakyat Malaysia yang berada di Iran dijangka dilaksanakan Jumaat ini.

Jurucakap kerajaan perpaduan Fahmi Fadzil berkata, perkara itu dimaklumkan oleh Menteri Luar Mohamad Hasan dalam mesyuarat Jemaah Menteri hari ini.

Fahmi yang juga menteri komunikasi berkata, antara persiapan yang sedang dilakukan ialah penyediaan visa perjalanan.

“Menteri luar memaklumkan, jumlah rakyat Malaysia berdaftar sama ada yang berkhidmat dengan Malawakil, pelajar atau pelancong yang berada di Iran tidak terlalu besar,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat Jemaah Menteri, lapor Bernama.

“InsyaAllah, mereka akan melakukan perjalanan keluar dalam tempoh sehari dua ini … dijangka pada 20 Jun. Ada beberapa persiapan tetapi oleh kerana melibatkan aspek keselamatan, saya tidak boleh nyatakan.”

Konflik antara Iran dan Israel memuncak sejak Jumaat lepas susulan serangan udara tanpa provokasi oleh rejim zionis itu ke atas wilayah Iran.

Sebagai tindak balas, Iran melancarkan peluru berpandu balistik ke beberapa lokasi di Israel.

Semalam, Wisma Putra menyeru semua rakyat Malaysia yang berada di Iran agar meninggalkan negara itu serta-merta susulan keadaan tidak menentu dan berisiko bertambah buruk tanpa amaran awal.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.