
Timbalan ketua penerangan Bersatu itu mengaku tidak bersalah selepas semua tuduhan dibacakan di hadapan Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud, lapor Utusan Malaysia.
Mengikut tuduhan, Ali ketika menjadi pengarah urusan Puncak Jasasia Sdn Bhd didakwa menerima suapan secara berperingkat sebanyak RM5,000 hingga RM20,000 dari 18 April 2024 hingga 20 Jan lalu.
Suapan itu sebagai upah bagi melantik syarikat Benalec Sdn Bhd sebagai kontraktor bagi menjalankan kerja di bawah projek tambakan laut seluas 40.47 hektar di perairan Kota Laksamana, Melaka.
Ali, 61, didakwa menerima suapan tersebut dekat sebuah premis di Glenmarie, Seksyen U1, Shah Alam.
Beliau juga didakwa menerima tiga buah kereta mewah BMW 730Li, Range Rover dan Bentley Flying Spur pada Januari 2017 serta April dan Mei 2024 di premis sama dan sebuah premis lain di Sungai Buloh.
Semua tuduhan dibuat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta yang sama.
Sabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi.
Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib kemudian mencadangkan mahkamah menetapkan jumlah jaminan RM60,000 serta syarat tambahan menyerahkan pasport kepada mahkamah.
Peguam Md Yunos Shariff yang mewakili Ali bersetuju dengan jumlah jaminan serta syarat tambahan yang dicadangkan pendakwaan.
Awang Kerisnada kemudiannya membenarkan jumlah jaminan dan syarat tersebut dan menetapkan 24 Julai untuk sebutan semula kes.