Miti siasat dakwaan pelanggaran cip AI Nvidia

Miti siasat dakwaan pelanggaran cip AI Nvidia

Miti mengulas laporan syarikat China guna cip AI Nvidia dalam latihan 'Large Language Models' di negara ini.

Nvidia
Kementerian Pelaburan, Perdagangan, dan Industri sedia bekerjasama dengan negara yang perlu bantuan memantau perdagangan barang sensitif di bawah kawalan eksport masing-masing. (Gambar EPA Images)
PETALING JAYA:
Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (Miti) dalam proses mengesahkan dengan agensi yang relevan sekiranya wujud pelanggaran undang-undang atau peraturan domestik berikutan laporan syarikat China menggunakan cip kecerdasan buatan (AI) Nvidia dalam latihan ‘Large Language Models’ di Malaysia.

Miti dalam kenyataan, berkata pelayan yang menggunakan cip dan cip AI Nvidia tidak diklasifikasikan sebagai barangan terkawal mengikut Akta Perdagangan Strategik Malaysia 2010.

“Bagaimanapun, Malaysia akan bekerjasama dengan mana-mana kerajaan yang memerlukan bantuan dalam memantau perdagangan barangan sensitif di bawah kawalan eksport negara masing-masing,” katanya menurut Bernama.

Kementerian berkata, berpandukan prinsip ketelusan, tadbir urus baik, dan kedaulatan undang-undang, perniagaan termasuk pusat data beroperasi di negara ini bebas membuat keputusan komersial masing-masing, selagi ia mematuhi skop undang-undang dan peraturan tempatan.

“Pembangunan dan pengawalseliaan industri pusat data dan ekosistem Malaysia juga diuruskan secara aktif dan bersama oleh Miti dan Kementerian Digital melalui Pasukan Petugas Pusat Data,” katanya.

Kementerian berkata, Malaysia berpendirian teguh dan mengambil pendekatan toleransi sifar dalam menangani usaha mana-mana individu atau syarikat yang cuba memintas kawalan eksport atau terlibat dalam aktiviti perdagangan haram.

“Miti kekal komited untuk memudah cara transaksi perdagangan yang sah bagi memupuk persekitaran pelaburan dan perdagangan yang selamat dan bertanggungjawab.

“Ini juga bagi memastikan semua pelaburan dan perdagangan berkaitan teknologi sejajar dengan amalan terbaik antarabangsa serta selaras dengan komitmen yang dipersetujui secara pelbagai hala,” katanya.

Menurut kementerian, Malaysia juga kekal komited dari segi pematuhan peraturan perdagangan antarabangsa dan memastikan pematuhan penuh terhadap langkah kawalan eksport global.

Malaysia akan sentiasa bertindak tegas terhadap mana-mana syarikat yang beroperasi di Malaysia, termasuk yang terlibat dalam industri semikonduktor dan AI, yang melanggar peraturan perdagangan Malaysia dan antarabangsa, katanya.

Miti berkata, walaupun Malaysia mengekalkan kedudukan neutral mengenai sekatan unilateral, syarikat berpangkalan di Malaysia telah dinasihatkan mematuhi kawalan eksport unilateral negara lain yang terpakai kepada aktiviti perniagaan antarabangsa mereka untuk mengelakkan sebarang sekatan ke atas perniagaan mereka.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.