Individu didakwa bersama 2 Adun Sabah tak dilindungi akta

Individu didakwa bersama 2 Adun Sabah tak dilindungi akta

Bagi mendapatkan perlindungan pemberi maklumat, seseorang individu perlu penuhi beberapa syarat, kata Wan Shaharuddin Wan Ladin.

Wan Shaharuddin Wan Ladin
Wan Shaharuddin Wan Ladin berkata, menurut Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010, perlindungan boleh dibatal jika pemberi maklumat didapati turut terlibat dalam salah laku. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan individu yang akan didakwa bersama dua Adun Sabah berhubung skandal rasuah lesen cari gali di negeri itu, tidak dilindungi di bawah Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010.

Pengarah Kanan Bahagian Perundangan dan Pendakwaan SPRM Wan Shaharuddin Wan Ladin berkata, Seksyen 11(1) Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 menjelaskan, seseorang yang terlibat dalam kesalahan yang didedahkannya tidak layak memohon perlindungan pemberi maklumat atau ‘whistleblower’.

“Kita rujuk kepada undang-undang di bawah Akta Perlindungan Pemberi Maklumat, iaitu jika seseorang itu melakukan sesuatu kesalahan, dia tidak dilindungi di bawah akta ini, maknanya dia bukan ‘whistleblower’,” katanya.

Wan Shaharuddin berkata, bagi mendapatkan perlindungan pemberi maklumat, seseorang individu perlu memenuhi beberapa syarat, iaitu laporan mesti dibuat kepada agensi penguatkuasaan yang sah seperti SPRM, polis, atau agensi kerajaan lain yang berkaitan.

Selain itu, laporan tersebut perlu dibuat dengan niat baik, bukan atas tujuan jahat seperti membalas dendam atau menfitnah, tambahnya.

“Satu lagi syarat penting, pemberi maklumat tidak boleh terlibat dalam kesalahan yang dilaporkan mengikut Seksyen 11(1) Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 yang jelas menyatakan bahawa perlindungan boleh dibatalkan jika pemberi maklumat tersebut didapati turut terlibat dalam salah laku yang didedahkan.

“Ini bagi memastikan integriti pemberi maklumat dan mengelakkan mereka daripada menggunakan status perlindungan sebagai ‘perisai’ untuk melindungi diri sendiri,” katanya.

Terdahulu, peguam individu terbabit mendakwa anak guamnya sebagai pemberi maklumat telah dipanggil untuk memberi keterangan berhubung kes terbabit sebelum dimaklumkan akan didakwa di mahkamah pada 30 Jun ini.

Sebelum ini, tular beberapa rakaman video yang didakwa perbualan berkaitan rasuah antara individu tertentu dan beberapa wakil rakyat Sabah berhubung isu perlombongan mineral di negeri itu.

Sebelum itu, dalam sidang media di Kota Kinabalu, Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki berkata, dua Adun Sabah dan seorang lagi individu dijangka dihadapkan ke mahkamah bulan ini berhubung skandal rasuah berkenaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.