Elak ‘canang’ Dzulkifli bakal calon PRU, kata penganalisis

Elak ‘canang’ Dzulkifli bakal calon PRU, kata penganalisis

Azmi Hassan berkata terlalu awal untuk menguar-uarkan Dzulkifli Ahmad sebagai calon termasuk di Tasek Gelugor.

Dzulkifli Ahmad mengumumkan menyertai Umno, minggu lalu dengan hasrat memberi nafas baharu kepada parti berkenaan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Penganalisis politik berpendapat masih terlalu awal untuk mencanang bekas ketua pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Dzulkifli Ahmad sebagai bakal calon Umno pada PRU akan datang.

Sebaliknya Felo Majlis Profesor Negara Azmi Hassan berpendapat Dzulkifli yang menyertai Umno, minggu lalu harus dimanfaatkan untuk memberi penjelasan dalam isu semasa termasuk membabitkan kes Najib Razak.

“Terlampau awal kalau Dzulkifli diuar-uarkan menjadi calon PRU.

“Mungkin ada tuduhan yang mengatakan dia masuk Umno sebab nak jadi calon,” katanya kepada FMT.

Minggu lalu, Dzulkifli yang mengetuai SPRM dari Ogos 2016 hingga Mei 2018 mengumumkan menyertai Umno dengan hasrat membawa ‘nafas baharu’ untuk parti itu.

Pada Jun 2022, media melaporkan Dzulkifli melancarkan kerja-kerja membantu rakyat di Tasek Gelugor antaranya melancarkan skuad sukarelawan Pejabat Tan Sri Dzulkifli.

Skuad itu terdiri daripada golongan belia berumur lingkungan 18 hingga 40 tahun bagi membantu masyarakat di Tasek Gelugor dari pelbagai aspek termasuk tenaga kerja.

Susulan itu, wujud spekulasi beliau akan menyertai politik untuk bertanding pada PRU15.

Sementara itu, Syaza Shukri dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) kurang yakin kemasukan Dzulkifli akan membantu Umno dari segi naratif melawan rasuah berdasarkan pelbagai dakwaan dilemparkan terhadapnya.

“Mungkin akan beri kesan kerana ada pihak akan mendakwa tindakan itu sebagai “deep state” kerjasama antara parti politik dengan penjawat awam,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.