Asean timbang kod tatakelakuan untuk rakan tenaga luar, kata Fadillah

Asean timbang kod tatakelakuan untuk rakan tenaga luar, kata Fadillah

Timbalan perdana menteri berkata mesyuarat pegawai kanan Asean tumpu selaras peraturan seluruh negara anggota untuk memajukan Grid Tenaga Asean.

ASEAN
Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof menyifatkan Grid Tenaga Asean sebagai sebagai tunjang utama dalam mewujudkan masa depan tenaga yang berdaya tahan dan mampan di seluruh rantau ini.
KUCHING:
Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof berkata Asean sedang berusaha membangunkan satu kod etika atau prinsip panduan bagi rakan tenaga luarnya susulan kerjasama yang semakin mendalam dengan rakan dialog termasuk Amerika Syarikat dan Rusia.

Beliau berkata pegawai kanan tenaga rantau ini kini memberi tumpuan kepada usaha menyelaras peraturan dan garis panduan ketika sedang memuktamadkan memorandum persefahaman (MoU) bagi Grid Tenaga Asean (APG) dalam Mesyuarat Pegawai Kanan Asean ke-43 sedang berlangsung.

Mesyuarat yang bermula pada 16 Jun dan berakhir hari ini dianjurkan oleh Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, yang diterajui Fadillah.

Dalam temu bual eksklusif bersama FMT, Fadillah berkata negara anggota akan memuktamadkan terma MoU terlebih dahulu.

“Langkah seterusnya ialah untuk pegawai kanan meneliti perkara-perkara terperinci berkaitan peraturan, piawaian dan undang-undang berkaitan.

“(Pembangunan) kod etika atau panduan akan menjadi salah satu aspek yang perlu diberi tumpuan,” katanya.

APG merupakan inisiatif serantau yang bertujuan menghubungkan grid elektrik negara-negara Asia Tenggara bagi menggalakkan perdagangan tenaga elektrik secara multilateral dan memperkukuh keterjaminan tenaga.

Fasa pertama projek itu, yang dilancarkan tiga tahun lalu, membolehkan Laos mengeksport sehingga 100 MW tenaga hidro ke Singapura melalui sambungan sedia ada di Thailand dan Malaysia.

Dikenali sebagai Projek Integrasi Kuasa Laos-Thailand-Malaysia-Singapura, ia menjadi pencapaian penting dalam perdagangan elektrik rentas sempadan Asean.

Tahun lalu, keempat-empat negara melancarkan fasa kedua projek berkenaan dengan sasaran untuk menggandakan perdagangan tenaga kepada maksimum 200 MW.

Bercakap Isnin lalu, Fadillah menyifatkan APG sebagai tunjang utama dalam mewujudkan masa depan tenaga yang berdaya tahan dan mampan di rantau ini.

Beliau berkata merealisasikan APG memerlukan iltizam politik lebih kukuh, kerjasama teknikal lebih mendalam dan strategi pelaburan yang lebih pintar.

Katanya, terma MoU itu ‘hampir dimuktamadkan’ dan akan dibentangkan dalam Mesyuarat Menteri-Menteri Tenaga Asean ke-43 yang dijadual berlangsung di Kuala Lumpur Oktober ini.

Pendekatan berkecuali Asean

Ditanya bagaimana Asean dapat mengekalkan diplomasi inklusif ketika berurusan dengan kuasa besar seperti AS dan China, Fadillah menegaskan pendirian berkecuali blok itu di tengah-tengah ketegangan geopolitik yang meningkat.

“Asean sentiasa menjadi blok berkecuali. Itulah kekuatan kita.

“Apa yang paling penting adalah, tidak kira kita berurusan dengan siapa – sama ada Amerika Syarikat, China atau Rusia – ia mesti demi kepentingan Asean,” katanya.

Bulan lalu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim turut mengulangi komitmen Malaysia selaku pengerusi Asean untuk mempertahankan pemusatan blok itu dan prinsip lama tidak berpihak yang diamalkan.

Sementara itu, Pengerusi Majlis Penasihat Perniagaan Asean, Nazir Razak menegaskan negara Asean masih boleh menjalinkan hubungan perniagaan dengan Rusia, berpandukan prinsip berkecuali seperti terkandung dalam Deklarasi Zon Aman, Bebas dan Berkecuali (ZOPFAN) yang diterima pakai pada 1971.

Selain pegawai kanan, mesyuarat itu turut dihadiri kira-kira 250 perwakilan termasuk wakil dari negara anggota Asean, Sekretariat Asean, Pusat Tenaga Asean serta rakan dialog seperti China, Jepun, Rusia dan AS.

Mesyuarat itu juga bertujuan memuktamadkan draf baharu Rancangan Tindakan Kerjasama Tenaga Asean (APAEC) serta mendapatkan pengesahan terhadap Perjanjian Keselamatan Petroleum Asean (APSA).

APAEC dirangka sebagai pelan induk serantau untuk kerjasama tenaga yang memfokuskan kepada tenaga boleh diperbaharui, integrasi grid dan keterjaminan tenaga.

Sementara itu, APSA bertujuan memperkukuh keselamatan bekalan petroleum di rantau Asean bagi memastikan kestabilan sewaktu berlaku gangguan atau kekurangan bekalan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.