20 ditahan, sisa elektronik hampir RM20 juta dirampas di Sarawak

20 ditahan, sisa elektronik hampir RM20 juta dirampas di Sarawak

Timbalan Komander PGA Sarawak Rosdi Inai berkata sindiket itu difahamkan beroperasi di premis terpencil bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

Timbalan Komander PGA Sarawak Rosdi Inai berkata sindiket membeli dan mengumpul sisa elektronik secara haram dari kawasan sekitar sebelum dihantar ke Semenanjung Malaysia untuk dileraikan. (Gambar PGA)
KUCHING:
Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Sarawak bersama agensi penguatkuasaan lain merampas bahan sisa elektronik hampir RM20 juta dalam enam serbuan di bawah Operasi Bersepadu “Op Hazard 2.0 Sarawak”.

Timbalan Komander PGA Sarawak, Rosdi Inai, berkata 13 rakyat tempatan dan tujuh warga asing turut ditahan dalam operasi 10 pagi hingga 9 malam Isnin lalu.

Beliau berkata, mereka termasuk 12 lelaki dan seorang wanita tempatan berumur 24 hingga 58 tahun serta enam lelaki dan seorang wanita warga asing berusia 21 hingga 32 tahun.

“Enam serbuan ini dijalankan di beberapa lokasi disyaki menjalankan aktiviti pemprosesan sisa elektronik tanpa lesen sah, masing-masing dua lokasi di Kuching, satu di Kota Samarahan, satu di Sibu dan dua lagi di Bintulu,” katanya dalam kenyataan.

Pemeriksaan lanjut turut menemui sejumlah barangan disyaki sisa elektronik belum diproses, barangan lusuh dan pelbagai jenis peralatan, dengan nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM19,638,213.45.

Rosdi berkata, siasatan lanjut mendapati sindiket ini membeli dan mengumpul sisa elektronik secara haram dari kawasan sekitar sebelum dihantar ke Semenanjung Malaysia untuk dileraikan bagi mendapatkan logam berharga seperti emas, perak dan tembaga yang boleh dikitar semula.

“Difahamkan, sindiket ini turut beroperasi di premis terpencil bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.”

Menurutnya, semua tangkapan diserahkan kepada IPD dan Jabatan Imigresen, manakala barang rampasan diserahkan kepada Jabatan Alam Sekitar Sarawak serta Jabatan Siasatan Jenayah D4 untuk tindakan lanjut.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.