Skandal perlombongan Sabah: SPRM tahan Adun, ahli perniagaan

Skandal perlombongan Sabah: SPRM tahan Adun, ahli perniagaan

Dua suspek bergelar 'Datuk' itu didakwa meminta, terima rasuah RM200,000 bagi pengeluaran lesen cari gali.

macc sprm
SPRM telah bebaskan dua suspek terbabit dengan jaminan RM50,000 dan RM100,000 serta penjamin.
PETALING JAYA:
Seorang Adun dan ahli perniagaan bergelar ‘Datuk’ ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah kerana disyaki meminta dan menerima wang rasuah RM200,000 membabitkan isu pengeluaran lesen cari gali.

Sumber berkata suspek lelaki berusia 30 dan 60-an itu ditahan jam 9.45 dan 11.50 pagi tadi ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Sabah dan Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya.

“Kedua-dua suspek yang terdiri daripada seorang ahli perniagaan dan seorang Adun dipercayai melakukan perbuatan tersebut sekitar tahun 2023 dan 2024.

“Siasatan awal juga mendapati kedua-dua suspek disyaki saling meminta dan menerima rasuah bernilai kira-kira RM200,000 antara satu sama lain bagi membantu menguruskan permohonan lesen cari gali di negeri ini,” katanya.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan tangkapan itu dan berkata kes disiasat di bawah Seksyen 16 (b) (A) Akta SPRM 2009.

Menurutnya, ahli perniagaan berkenaan telah dilepaskan selepas keterangan diambil dengan jaminan sebanyak RM100,000 serta dua orang penjamin.

“Adun terbabit turut dilepaskan selepas keterangan diambil dengan jaminan sebanyak RM50,000 serta seorang penjamin,” katanya.

Terdahulu, Azam mengesahkan dua Adun Sabah antara tiga yang akan didakwa berkait skandal rasuah lesen perlombongan mineral.

Menurutnya, pertuduhan terhadap mereka akan dibuat bulan ini dan pihaknya sedang mendapatkan tarikh daripada mahkamah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.