Sukar profesional terajui PAS, hanya dianggap pelengkap parti, kata penganalisis

Sukar profesional terajui PAS, hanya dianggap pelengkap parti, kata penganalisis

Pengarah Eksekutif Ilham Centre Hisommudin Bakar berkata struktur yang berakar dalam PAS membuktikan majoriti perwakilan menekankan kepimpinan ulama sebagai asas perjuangan.

Penganalisis berkata perubahan kepimpinan tidak akan sesekali mengubah ‘DNA PAS’ yang masih tunduk kepada keputusan Majlis Syura. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Sukar untuk kelompok profesional menerajui PAS kerana struktur yang berakar dalam parti itu membuktikan majoriti perwakilan menekankan kepimpinan ulama sebagai asas perjuangan, kata penganalisis.

Pengarah Eksekutif Ilham Centre, Hisommudin Bakar, berkata perwakilan PAS dari seluruh kawasan yang kebanyakannya berpendidikan agama secara konsisten memberikan sokongan kepada calon memiliki kredibiliti keilmuan Islam tinggi dan dekat dengan kepimpinan ulama.

Hisommudin Bakar
Hisommudin Bakar.

Katanya, kehadiran golongan profesional atau teknokrat dalam PAS lebih dilihat sebagai pelengkap kekuatan parti, khususnya dari aspek pengurusan, strategi dan pentadbiran.

“Mereka lebih dominan mengisi jawatan timbalan presiden, naib presiden atau ahli jawatankuasa kerja pusat bukannya jawatan nombor satu parti,” katanya kepada FMT.

Sabtu lalu, media melaporkan Timbalan Presiden Tuan Ibrahim Tuan Man berkata golongan profesional juga berpeluang memimpin PAS jika mereka boleh membuat keputusan mengikut syarak.

Mengulas gesaan kepimpinan ulama dikekalkan jika Presiden Hadi Awang berundur pada pemilihan September ini, Tuan Ibrahim berkata tradisi mengekalkan kepimpinan ulama bukan bermakna golongan profesional dalam PAS ditolak.

Beliau mengulas kenyataan Mursyidul Am PAS Hashim Jasin supaya pengganti Hadi jika Ahli Parlimen Marang itu berundur, harus dalam kalangan ulama namun tidak menolak individu profesional dalam parti.

Mengulas lanjut, Hisommudin berkata senario itu bukan bermakna kelompok berkenaan tiada tempat dalam kepimpinan tertinggi parti sebaliknya kepercayaan untuk memimpin PAS masih bersyarat.

Beliau juga tidak menolak kenyataan Tuan Ibrahim sebagai usaha meredakan suhu dalaman parti antara dua kelompok – ulama dan profesional – yang semakin panas menjelang pemilihan.

Beliau mendakwa, polemik antara dua kumpulan itu bukan perkara baru dalam PAS, dan ia lebih ketara sejak akhir-akhir ini apabila kelompok profesional semakin menonjol dalam kepimpinannya.

“Mereka menonjol dari segi pengurusan, pentadbiran dan hubungan strategik dengan masyarakat luar, termasuk ketika PAS menganggotai kerajaan negeri atau persekutuan,” katanya.

Mengulas adakah imej Islam PAS akan terhakis jika teknokrat memimpi parti, Hisommudin berpendapat perubahan kepimpinan tidak akan sesekali mengubah ‘DNA PAS’ yang masih tunduk kepada keputusan Majlis Syura.

“Maka, tidak timbul soal imej Islam yang sinonim dengan PAS akan terhakis, kerana struktur dan dasar parti tetap dikawal oleh institusi ulama yang dominan.

“Yang mungkin berubah hanyalah pendekatan atau gaya pengurusan parti lebih teknokratik, lebih responsif terhadap cabaran semasa tetapi bukan asas perjuangan itu sendiri,” katanya.

Beliau juga tidak setuju pemimpin teknokrat menjadi penentu kepada sokongan pengundi bukan Islam kepada PAS, sebaliknya banyak bergantung kepada strategi naratif politik semasa.

“Sejarah politik PAS pernah meraih sokongan pengundi bukan Melayu walaupun diterajui kepimpinan ulama. Contohnya ketika bekerjasama dengan PKR dan DAP bawah Pakatan Rakyat pada PRU 2008,” katanya.

azmi hassan
Azmi Hassan.

Sementara itu, Felo Majlis Profesor Negara, Azmi Hassan, berpandangan kelompok profesional wajar diberi lebih ruang dan peluang dalam kepimpinan PAS, sebagai usaha mencerminkan imej Islam yang moden dan progresif.

“Imej Islam akan meningkat dan mampu menarik perhatian pengundi bukan Islam berdasarkan keputusan dan dasar yang dibuat oleh pemimpin PAS daripada kelompok profesional,” katanya.

Baru-baru ini, media melaporkan Hadi, 77, didakwa membayangkan berundur daripada jawatan presiden PAS atas faktor kesihatan selepas memimpin parti sejak 2002.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.