Mesyuarat pegawai kanan Asean bincang projek tenaga rentas sempadan

Mesyuarat pegawai kanan Asean bincang projek tenaga rentas sempadan

Mesyuarat dari 16 hingga 18 Jun di Kuching dipengerusikan Ketua Setiausaha Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Mad Zaidi Karli.

ASEAN
Mesyuarat Pegawai Kanan Tenaga Asean ke-43 di Kuching, Sarawak, menghimpunkan pegawai kanan tenaga dari semua negara anggota, dengan seorang wakil dari Timor-Leste turut hadir sebagai pemerhati.
PETALING JAYA:
Perkembangan terkini pelaksanaan projek sambungan tenaga rentas sempadan di bawah inisiatif Grid Kuasa Asean antara topik utama dibincangkan dalam Mesyuarat Pegawai Kanan Tenaga Asean ke-43 berlangsung di Kuching, Sarawak.

Mesyuarat tiga hari bermula semalam itu dianjurkan Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (Petra) dan dipengerusikan Ketua Setiausahanya Mad Zaidi Karli.

“Mesyuarat turut membincangkan kemajuan semasa dalam perdagangan tenaga pelbagai hala menerusi projek integrasi kuasa Laos–Thailand–Malaysia–Singapura.

“Topik berkaitan dasar peralihan tenaga turut diketengahkan, termasuk usaha meningkatkan penggunaan tenaga boleh baharu, kecekapan tenaga, potensi tenaga nuklear serta penyelarasan dasar tenaga serantau,” kata Petra dalam kenyataan.

Antara perkara lain dalam agenda termasuk semakan kemajuan di bawah Pelan Tindakan Kerjasama Tenaga Asean (APAEC) Fasa II 2021–2025 serta perbincangan mengenai pembangunan APAEC 2026–2030 yang akan datang.

Mesyuarat ini menghimpunkan pegawai kanan tenaga dari semua negara anggota Asean, dengan seorang wakil dari Timor-Leste turut hadir sebagai pemerhati.

“Mesyuarat ini turut menjadi platform untuk negara anggota mengiktiraf kemasukan Timor-Leste sebagai anggota penuh Asean,” menurut Petra lagi.

Kementerian itu menambah bahawa persiapan awal untuk Mesyuarat Menteri-Menteri Tenaga Asean yang dijadualkan berlangsung pada bulan Oktober turut menjadi antara agenda utama mesyuarat.

“Kerjasama kukuh yang terjalin dalam kalangan semua pihak berkepentingan meletakkan rantau ini pada landasan yang kukuh ke arah masa depan tenaga yang mampan, di samping menyumbang kepada kemakmuran bersama,” kata Petra.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.