
Setiausaha Agung Fouzi Singon berkata, semua sekolah beroperasi mengikut takwim rasmi dirancang Kementerian Pendidikan (KPM) dan jumlah hari persekolahan tidak kurang daripada 190 hari setiap tahun.
“Sekolah ada penolong kanan pentadbiran, ketua bidang dan ketua panitia yang mengawal setiap mata pelajaran.
“Guru tahu apa yang mereka laksanakan untuk memastikan kecemerlangan murid setiap tahun. Aktiviti kokurikulum memang telah dirancang KPM, jabatan pendidikan, pejabat pendidikan daerah (PPD) dan sekolah,” katanya kepada FMT.
Beliau mengulas keluhan guru yang bimbang masih banyak silibus belum selesai walaupun pengajaran dan pembelajaran (PdP) sudah masuk separuh tahun.
Semalam, ahli akademik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Anuar Ahmad mendakwa pelbagai program dianjurkan pentadbir sekolah dan luar sekolah menyebabkan silibus dirancang jadi tertangguh.
Katanya, tambahan tempoh PdP tahun ini juga lebih pendek kerana sesi persekolahan tahun depan akan bermula pada Januari.
Sementara itu, Fouzi berkata guru memahami tanggungjawab dan sentiasa komited memastikan kecemerlangan murid, namun mengakui ada sekolah yang melaksanakan program tidak terkandung dalam perancangan tahunan.
“Memang tidak dinafikan ada sekolah tidak membuat pertimbangan wajar sama ada program dilaksanakan memberikan impak kepada pembelajaran murid atau sekadar sambutan bagi memenuhi hasrat pengurusan sahaja,” katanya.
Beliau juga mencadangkan KPM mengkaji semula program berimpak tinggi termasuk pelaksanaan program yang membazir masa dan hanya menambah tekanan emosi kepada guru.
“Program yang tidak diatur dalam takwim tidak wajar dilaksanakan. Isu laporan Bank Dunia berkaitan murid Malaysia bersekolah 11 tahun tetapi belajar hanya lapan tahun harus diambil iktibar dan diperhalusi KPM,” katanya.