Mudah percaya, kanak-kanak sasaran jenayah seksual digital, kata pensyarah

Mudah percaya, kanak-kanak sasaran jenayah seksual digital, kata pensyarah

Mohamad Naqiuddin Dahamat Azam berkata minda kanak-kanak dan remaja belum mampu menilai risiko dengan tepat.

kids using handphone
Mangsa bahan penderaan seksual kanak-kanak (CSAM) akan mengalami kemurungan berpanjangan, kata pensyarah psikologi perkembangan Mohamad Naqiuddin Dahamat Azam. (Gambar Envato Elements)
PETALING JAYA:
Kebergantungan tinggi terhadap gajet selain kurang pemantauan oleh ibu bapa membuka ruang pendedahan bahan penderaan seksual kanak-kanak (CSAM) yang dibimbangi memberi kesan psikologi jangka panjang.

Pensyarah kanan psikologi perkembangan Mohamad Naqiuddin Dahamat Azam berkata penggunaan gajet yang meningkat telah mengubah landskap pengguna media sosial dengan ‘kehadiran’ kanak-kanak berusia 7 hingga 12 tahun selain remaja.

Menurutnya, pada usia itu kelompok berkenaan berada pada tahap pemikiran konkrit menyebabkannya cenderung percaya individu dewasa atau orang bersikap mesra termasuk di internet.

Ahli akademik dari Universiti Putra Malaysia (UPM) itu turut menjelaskan kelompok remaja yang pada proses pencarian identiti mudah terpedaya kepada pujukan, pujian atau janji-janji romantik.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil menyantuni murid SK Ulu Melaka, Langkawi pada pelancaran Kempen Internet Selamat wilayah Utara, bulan lalu.

“Faktor seperti kesunyian, kekurangan pengawasan ibu bapa, kurang literasi digital serta perasaan ingin tahu tinggi juga menyumbang kepada kerentanan mereka selain pelaku jenayah sering menggunakan strategi ‘grooming’ halus serta terancang.

“Pelaku membina kepercayaan, memanipulasi emosi, dan akhirnya memaksa atau memperdaya mangsa menghasilkan atau menghantar kandungan seksual.

“Oleh kerana minda kanak-kanak dan remaja masih dalam proses perkembangan, mereka belum mampu menilai risiko dengan tepat, menjadikan mereka sasaran utama dalam jenayah ini,” katanya kepada FMT.

Menurut Naqiuddin, mangsa CSAM akan mengalami kesan psikologi jangka pendek seperti sering ketakutan, rasa bersalah dan kemurungan yang boleh menjejaskan perkembangan identiti serta hubungan sosial, dari segi kesan tempoh panjang.

“Dari sudut kesihatan mental, mangsa berisiko tinggi mengalami gangguan stres pascatrauma (PTSD), kebimbangan melampau, gangguan makan, serta kecenderungan kepada tingkah laku berisiko seperti mencederakan diri sendiri.

“Lebih membimbangkan, rakaman tersebar boleh menyebabkan mangsa mengalami penderaan psikologi berulang setiap kali bahan itu ditonton atau dikongsi, menjadikan proses pemulihan mereka jauh lebih kompleks serta berpanjangan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menggesa ibu bapa memantau penggunaan gajet dan media sosial dengan meningkatkan kesedaran digital selain mewujudkan komunikasi terbuka supaya anak-anak selesa berkongsi pengalaman mencurigakan atau mengelirukan.

Kempen Internet Selamat kekang ancaman digital

KIS, sebuah inisiatif nasional bertujuan memperkukuh kesedaran serta keupayaan rakyat dalam menghadapi cabaran keselamatan digital.

Presiden Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA) Siraj Jalil turut senada dengan Naqiuddin supaya ibu bapa memainkan peranan selain komuniti yang perlu aktif membanteras penyebaran CSAM.

Beliau berkata Kempen Internet Selamat (KIS) anjuran Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia juga boleh dimanfaatkan untuk meningkatkan kecelikan digital di kalangan kanak-kanak.

“Anak-anak kita mesti celik dan tahu beza antara selamat dan bahaya penggunaan media sosial,” katanya.

Kempen Internet Selamat mampu didik murid untuk menjadi lebih celik digital.

KIS, sebuah inisiatif nasional bertujuan memperkukuh kesedaran serta keupayaan rakyat Malaysia dalam menghadapi pelbagai cabaran keselamatan digital yang semakin membimbangkan.

Kempen ini memfokuskan kepada isu-isu utama seperti buli siber, penipuan atas talian, perjudian digital serta kandungan penderaan seksual kanak-kanak (CSAM) yang dilihat semakin menular seiring dengan perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi.

Pelaksanaan KIS secara berperingkat dari 2025 hingga 2027 menyasarkan pelbagai segmen masyarakat, termasuk kanak-kanak, remaja, pelajar institusi pengajian tinggi, guru, ibu bapa, komuniti Madani dan warga emas.

KIS juga adalah usaha strategik bagi membina ekosistem digital yang lebih selamat dan bertanggungjawab.

Siraj turut berpandangan dasar pendidikan digital diperkenalkan pada 2023 perlu digubal semula dan meletakkan aspek keselamatan internet sebagai tunjang utama.

Katanya, dasar itu juga perlu dijadikan silibus wajib di sekolah supaya literasi terhadap penggunaan internet selamat menjadi keutamaan dalam masyarakat.

“Barulah penggerak seperti NGO akan mengolah satu usaha menitikberatkan isu keselamatan dalam mendidik apabila menggunakan (bahan) digital,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.