
Panel tiga hakim yang dipengerusikan oleh Hakim Zabariah Yusof bersetuju dengan hujahan peguam Ooi Mei Chien bahawa remedi utama bagi pemecatan secara tidak sah ialah pengembalian pekerjaan, bukan pampasan berbentuk kewangan.
Zabariah berkata, pengembalian pekerjaan Ooi dengan Osram Opto Semiconductors Sdn Bhd harus dilaksanakan serta-merta, tanpa kehilangan pangkat kanannya, tahun perkhidmatan, gaji dan semua faedah dan elaun lain yang layak diterimanya mulai 1 Jan 2023.
Mahkamah juga memutuskan, susulan pengembalian pekerjaan Ooi, syarikat itu perlu menyelesaikan semua tunggakan termasuk caruman berkanun.
“Pampasan bersih RM804,650, sebagai ganti pengembalian pekerjaan Ooi, akan dipulangkan kepada syarikat,” katanya menambah, perintah mahkamah mesti dipatuhi dalam tempoh 30 hari.
Panel mendengar rayuan itu turut dianggotai Hakim Abu Bakar Jais dan Vazeer Alam Mydin Meera.
Peguam Ooi, Alex De Silva berkata, gaji dan elaun tertunggak anak guamnya untuk 30 bulan lepas dianggarkan kira-kira RM1 juta.
Tahun lepas, Mahkamah Rayuan mengesahkan keputusan Mahkamah Tinggi bahawa pemberhentian Ooi tidak dilakukan dengan niat baik.
Mahkamah Rayuan bagaimanapun membatalkan perintah Mahkamah Tinggi agar pekerjaan Ooi dikembalikan, sebaliknya mengarahkan majikan membayar RM854,650 sebagai pampasan.
Mahkamah Rayuan mendapati, ganti pampasan ialah remedi lebih sesuai kerana tindakan mengembalikan pekerjaan Ooi tidak selaras dengan prinsip mengekalkan keharmonian industri.
Syarikat itu juga telah membayar gajinya selama 24, bulan berjumlah RM772,464, seperti yang diperintahkan oleh Mahkamah Tinggi.
Mahkamah Rayuan juga mengesahkan perintah Mahkamah Tinggi agar Osram membayar Ooi RM50,000 sebagai ganti rugi punitif.
Menurut fakta kes, Ooi telah berkhidmat dengan Osram, pembekal premium produk lampu LED, selama 24 tahun.
Sebagai ketua perkhidmatan perbendaharaan dan pentadbiran komersial, beliau menerima gaji bulanan RM32,186.
Dalam usaha mewajarkan pemberhentian Ooi, Osram berkata, pihaknya telah menyumber luar fungsi perakaunan dan perbendaharaan kepada organisasi perkhidmatan kongsi global, menyebabkan peranan wanita itu tidak lagi diperlukan.
Bagaimanapun, menurut Ooi, hanya sebahagian daripada fungsinya diambil alih, dan perkhidmatannya masih diperlukan.
Mahkamah Perusahaan pada 2019 tidak bersetuju, mendapati pemberhentian Ooi pada 30 Sept 2015 adil dan pakej pemberhentian yang diberikan adalah munasabah.
Bagaimanapun pada 2021, Mahkamah Tinggi memerintahkan Ooi dibayar balik gaji sebanyak RM772,463 dan jawatannya dikembalikan.
Mahkamah Rayuan berpendapat, pemberhentian Ooi berniat jahat dan keputusan mengeluarkan perintah ganti rugi punitif tepat, namun mahkamah itu membatalkan perintah pengembalian pekerjaan dengan pampasan kewangan.
Ooi tidak berpuas hati dengan perintah pampasan sebagai ganti pengembalian pekerjaannya dan mendapat kebenaran untuk merayu atas empat persoalan undang-undang.
De Silva berhujah, wanita itu tidak dapat mencari pekerjaan baharu disebabkan usia dan jawatan kanannya.Mahkamah Persekutuan bersetuju dengan hujahan peguam Ooi bahawa dalam situasi sebegini, remedi utama pengembalian pekerjaan paling sesuai.
Selain De Silva, Ooi turut diwakili Louis Ambrose, Zuyin Toon and Jessica Chew selaku peguam, manakala Arumugam Ganapathy dan Moses Mathew George mewakili syarikat tersebut.