
Bernama memetik Naib Presiden MIC, T Murugiah sebagai berkata Palanivel, 76, meninggal dunia pada 8 pagi tadi.
Bekas Ahli Parlimen Cameron Highlands itu menyertai MIC sebagai ahli biasa pada 1968.
Beliau mula menerajui parti itu selepas presiden ketika itu, S Samy Vellu berundur pada 2010.
Anak jati Pulau Pinang itu berkhidmat sebagai menteri di Jabatan Perdana Menteri dari Ogos 2011 hingga Mei 2013 serta menteri sumber asli dan alam sekitar dari Mei 2013 hingga Julai 2015.
Palanivel juga pernah dilantik timbalan menteri pembangunan luar bandar (1999-2004), pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat (2004-2009) serta perusahaan, perladangan dan komoditi (2009-2011).
Selain berkhidmat sebagai Ahli Parlimen Cameron Highlands dari 2013 hingga 2018, beliau juga pernah menjadi Ahli Parlimen Hulu Selangor dari 1990 hingga 2008.
Palanivel tidak lagi menjadi ahli MIC selepas mengheret isu kepimpinan MIC dengan timbalan presiden ketika itu, Dr S Subramaniam ke mahkamah pada 2015.