Penduduk heret DBKL ke mahkamah pertahan taman permainan, balai polis

Penduduk heret DBKL ke mahkamah pertahan taman permainan, balai polis

Penduduk Taman Danau Desa berkata ia selepas bantahan dan petisyen mereka sebelum ini tidak didengari.

Taman permainan Taman Danau Desa telah dipasang pagar dan disekat untuk orang ramai.
KUALA LUMPUR:
Penduduk Taman Danau Desa akan memfailkan semakan kehakiman terhadap Rancangan Tempatan Kuala Lumpur 2040 yang diwartakan baru-baru ini untuk melindungi taman permainan dan balai polis yang terletak di kawasan dizonkan semula untuk pembangunan kondominium.

Lok Shi Shuen, yang bernaung di bawah persatuan penduduk berkata mereka akan mengheret Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) ke mahkamah selepas bantahan dan petisyen mereka tidak didengari.

Penduduk Taman Danau Desa, kawasan kejiranan di Taman Desa, menyuarakan kebimbangan awal tahun ini mengenai pembangunan keterlaluan di kawasan itu.

Lok yang menetap di kawasan itu selama 32 tahun berkata, langkah terakhir adalah memagar taman permainan itu, yang turut menempatkan pusat kitar semula dan ladang komuniti.

“Semua orang kecewa,” kata Lok kepada FMT, sambil berkata pusat kitar semula Tzu Chi telah membantu meningkatkan kesedaran selain menempatkan kedai serbaneka yang menjadi tumpuan orang ramai.

“Ia adalah tempat yang bagus untuk membolehkan kami memahami lebih sedikit tentang amalan mampan.”

Sebuah kondominium sedang dibina berhadapan tanah menempatkan taman permainan Danau Desa.

Mengikut draf rancangan tempatan yang diterbitkan pada Januari tahun lalu, taman permainan komuniti Taman Danau Desa telah dizonkan semula untuk pembangunan kediaman bertingkat.

Kurang sebulan sebelum rancangan itu diwartakan, penduduk mendapati sebidang tanah yang terletak di balai polis itu telah dizonkan semula untuk pembangunan rumah kediaman bertingkat.

Lok mendakwa penduduk tidak tahu mereka telah kehilangan taman permainan itu sehingga dua tahun selepas pengasingan.

Katanya, mereka hanya menyedarinya selepas taman permainan itu dipagar pada 2019, memaksa pusat kitar semula dan ladang komuniti itu menghentikan operasi.

“Kita tidak boleh berdiam dan tidak berbuat apa-apa mengenainya. Kita mesti mempertahankan kawasan hijau ini dan tanah untuk kemudahan awam,” katanya.

Lok dan penduduk lain berharap keputusan mahkamah tertinggi pada 2023 akan membantu perjuangan mereka.

Dua tahun lalu, Mahkamah Persekutuan membatalkan rayuan DBKL untuk mengembalikan semula cadangan projek pembangunan Taman Rimba Kiara.

Projek yang dicadangkan itu melibatkan blok pangsapuri 29 tingkat dengan 350 unit rumah mampu milik, serta lapan blok pangsapuri servis dan lapan tingkat kemudahan tempat letak kereta.

Perayu-perayu, termasuk Yayasan Wilayah Persekutuan dan pemaju Memang Perkasa Sdn Bhd, merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan, yang diputuskan pada 2021, di mana ia membatalkan perintah pembangunan 2017 untuk Taman Rimba Kiara selepas membuat keputusan memihak kepada penduduk Taman Tun Dr Ismail (TTDI) dalam rayuan semakan kehakiman.

Penduduk Taman Danau Desa turut diwakili firma guaman sama yang mewakili penduduk TTDI, dan mereka mempunyai masa sehingga 28 Ogos untuk mengumpul dana diperlukan.

“Kami tidak berputus asa, dan pasti mempunyai peluang untuk menyelamatkan taman permainan dan balai polis,” kata Lok.

Maklumat lanjut mengenai usaha penduduk boleh didapati di www.protecttamandesa.org.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.