
Anwar berkata, langkah membangunkan ekosistem bahan utama dalam sektor ternakan negara itu disifatkan sebagai pendekatan penting yang mampu merangsang pembangunan sektor agromakanan negara, meningkatkan peluang ekonomi luar bandar serta memperkukuh daya tahan sistem makanan negara.
“Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Dasar Keterjaminan Makanan Negara Bil. 1/2025 yang saya pengerusikan hari ini bersetuju agar Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) merangka strategi pembangunan industri jagung bijian tempatan,” katanya menerusi hantaran Facebook.
Selain itu, perdana menteri berkata, mesyuarat turut bersetuju mengintegrasikan pangkalan data ‘Malaysian Food Composition Database’ (MyFCD) sebagai komponen strategik dalam Dasar Keterjaminan Makanan Negara.
“Inisiatif ini dilihat sebagai langkah kritikal dalam memperkasakan kesedaran rakyat terhadap amalan pemakanan sihat ke arah membina masyarakat yang sihat dan produktif,” katanya.
Anwar berkata, mesyuarat itu antara lain meneliti pelbagai program dan strategi bagi meningkatkan kadar sara diri daging negara, sebagai usaha memperkukuh sektor ternakan supaya kekal mampan dan berdaya saing, seterusnya menjamin keselamatan makanan negara untuk generasi masa depan.
Mesyuarat itu turut dihadiri Ketua Setiausaha Negara Shamsul Azri Abu Bakar, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Mohamad Sabu, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil dan Menteri Pengajian Tinggi Zambry Abdul Kadir.