Dah masuk Jun, guru mengeluh silibus banyak belum selesai

Dah masuk Jun, guru mengeluh silibus banyak belum selesai

Silibus yang dirancang jadi tertangguh kerana pihak pentadbir sekolah dan luar sekolah banyak anjur program, kata ahli akademik.

Tempoh PdP bagi tahun ini lebih pendek kerana sesi persekolahan tahun depan akan bermula pada Januari, menurut ahli akademik Anuar Ahmad.
PETALING JAYA:
Seorang ahli akademik berkongsi keluhan guru yang bimbang masih banyak silibus belum selesai meskipun pengajaran dan pembelajaran (PdP) sudah masuk separuh tahun.

Anuar Ahmad daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mendakwa, pelbagai program dianjurkan pihak pentadbir sekolah dan luar sekolah menyebabkan silibus yang dirancang jadi tertangguh.

Anuar Ahmad.

Tambahan, katanya, tempoh PdP bagi tahun ini juga lebih pendek kerana sesi persekolahan tahun depan akan bermula pada Januari.

“Kalau tak habiskan silibus, cikgu kena jawab dengan PGB (pengetua/guru besar). Kena jawab dengan ibu bapa. Silap-silap kena jawab kepada PPD (pejabat pendidikan daerah). Siapa nak cari masalah?

“Apa cikgu akan buat untuk selesai masalah ini? Buat kelas ekspres. Ajar dengan laju, asal siap, silibus habis,” kata Anuar yang juga timbalan pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia (Minda) UKM.

Akibat senario itu, beliau khuatir lebih ramai murid akan keciciran, menjadikan mereka hilang motivasi untuk menuntut ilmu.

“Akhirnya, ramai murid akan ketinggalan. Murid kaya, masuk tuisyen. Selamatlah mereka.

“Inilah situasi sistem pendidikan negara kita sekarang,” katanya di Facebook.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.