Buah import dicukai untuk pacu permintaan tempatan, perkukuh keterjaminan makanan

Buah import dicukai untuk pacu permintaan tempatan, perkukuh keterjaminan makanan

Ketua setiausaha perbendaharaan berkata, langkah ini untuk sokong petani tempatan, kurang kebergantungan pada rantaian bekalan makanan asing.

buah fruit supermarket
Kadar SST 5% ke atas buah-buahan import bertujuan galak pengguna pilih hasil tempatan dan perkukuh keterjaminan makanan negara.
PETALING JAYA:
Peluasan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) mulai 1 Julai, termasuk kadar 5% ke atas buah-buahan import, disasarkan secara strategik untuk menyokong permintaan terhadap hasil tani tempatan dan mengukuhkan keterjaminan makanan, kata Kementerian Kewangan.

Dalam wawancara bersama FMT, Ketua Setiausaha Perbendaharaan Johan Mahmood Merican menggariskan pendekatan berhemah kerajaan untuk membezakan antara barangan keperluan dan bukan keperluan dalam rangkuman jaring cukai yang diperluas itu.

Kadar SST 5% ke atas buah-buahan import, yang dilaksanakan bersama pelarasan yang lebih luas untuk peningkatan perkhidmatan awam dan kestabilan fiskal, berfungsi sebagai dorongan strategik terhadap pengguna.

Langkah khusus ini bertujuan menggalakkan pemilihan barangan tempatan dan memperkukuh keterjaminan makanan negara.

“Barangan pilihan yang ada alternatif dikenakan SST 5%, tetapi buah-buahan keluaran tempatan tidak dikenakan cukai jualan,” kata Johan.

Pendekatan berperingkat ini sejajar dengan visi kerajaan yang lebih luas untuk menyokong petani tempatan, memupuk sifat berdikari dan mengurangkan kebergantungan pada rantaian bekalan makanan asing.

Dengan menjadikan buah-buahan import lebih mahal sedikit, kerajaan berharap dapat menggalakkan pengguna memilih buah-buahan tempatan, sekali gus menyokong petani Malaysia dan menyumbang kepada sektor pertanian negara.

Langkah ini mampu menggiatkan peningkatan dalam pengeluaran domestik, kepelbagaian dan ketersediaan buah-buahan tempatan.

Johan berkata, penghasilan buah-buahan tempatan kini kian meningkat, sementara Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) sedang giat menambah baik mutu keluaran hasil seperti tembikai susu dan nanas untuk menyediakan pilihan alternatif tempatan yang berkualiti pada harga berpatutan.

“Hasil tambahan yang dijana daripada peluasan SST, termasuk daripada barangan import, diperuntukkan untuk perkhidmatan awam yang kritikal dan rangkaian keselamatan sosial.

Ini termasuk peningkatan peruntukan untuk inisiatif seperti Sumbangan Asas Rahmah (Sara), yang menyediakan bantuan bulanan RM100 kepada 5.4 juta rakyat Malaysia untuk barangan keperluan asas, dan pelaburan besar dalam penjagaan kesihatan, seperti lebih RM1 bilion untuk lantikan kontrak tetap dan RM400 juta bagi menaik taraf klinik yang dalam keadaan daif.

Johan berkata, peluasan SST secara keseluruhannya dirangka dengan teliti untuk meminimumkan kesan ke atas golongan B40 dan M40 serta melindungi kuasa beli mereka.

“Kementerian beri tumpuan pada barangan keperluan harian,” tambahnya.

Barangan makanan penting — termasuk ayam, daging, udang, sayur-sayuran tempatan, beras, serta makanan diproses asas seperti tepung gandum, sardin, gula, roti, susu dan minyak sawit — serta ubat-ubatan dan buku, akan kekal dikenakan kadar sifar.

Johan berkata, kerajaan percaya dengan memanfaatkan SST secara strategik, ia dapat mencapai pelbagai objektif, seperti meningkatkan hasil negara, mempertingkat perkhidmatan awam dan menggalakkan amalan domestik yang mampan, seperti menyokong pertanian tempatan demi keterjaminan makanan yang lebih kukuh.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.