2 dalang sindiket dadah ditahan, polis buat rampasan RM8.5 juta

2 dalang sindiket dadah ditahan, polis buat rampasan RM8.5 juta

Dalam serbuan di Kuching, polis merampas dadah bernilai RM532,934, selain menyita wang tunai RM5.1 juta, jongkong emas, jam Rolex, rantai, serta kereta.

Menurut Pesuruhjaya Polis Sarawak Mancha Ata, kedua-dua suspek kini direman tujuh hari dan pihaknya kini giat memburu saki baki sindiket yang masih bebas. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Dua individu disyaki dalang utama sindiket pengedaran dadah yang aktif di Sibu sejak 10 tahun lalu, berjaya ditahan dalam beberapa serbuan di Kuhcing, minggu lalu.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Mancha Ata, berkata suspek lelaki berusia 52 tahun dan wanita berusia 44 tahun itu ditahan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Sibu di Jalan Pedada serta dua rumah teres di Lorong Permai Jaya.

“Serbuan dilakukan hasil maklumat risikan dan siasatan terhadap dua suspek yang mendapati mereka adalah dalang utama kegiatan pengedaran dadah di Sibu yang aktif sejak 2015.

“Mereka memperoleh bekalan dadah dari Semenanjung dengan menggunakan perkhidmatan kurier dan dadah itu diedarkan di pasaran Sibu,” katanya, menurut Berita Harian.

Beliau berkata rampasan membabitkan 7.08 kg syabu, 2.07kg ketamin, 2,02kg pil Eramin 5 yang keseluruhannya bernilai RM532,934

Katanya, polis turut menyita wang tunai RM5.1 juta, empat jongkong emas, dua utas rantai, tiga utas jam tangan jenama Rolex serta masing-masing sebuah kereta Lexus RX350F Sport, Lexus ES250 dan Toyota Vios.

“Jumlah keseluruhan dadah, wang tunai dan harta sitaan dianggarkan RM8.5 juta. Turut dirampas untuk siasatan adalah kad bank, kunci serta peralatan membungkus dadah.

“Ujian saringan awal air kencing mendapati kedua-dua suspek negatif dadah dan tiada rekod jenayah.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan jika tidak dihukum mati akan dikenakan tidak kurang 12 sebatan jika sabit kesalahan,” katanya.

Menurutnya, kedua-dua suspek direman tujuh hari bagi membantu siasatan dan polis kini giat memburu saki baki sindiket yang masih bebas.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.