Lari matlamat jika sijil PLKN merit masuk IPT, pekerjaan, kata ahli akademik

Lari matlamat jika sijil PLKN merit masuk IPT, pekerjaan, kata ahli akademik

Anuar Ahmad berkata program itu wajar diperkukuh secara mandatori bagi generasi muda merasai pengalaman kenegaraan secara serius.

plkn 2025
Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul pada Khamis lalu berkata kerajaan sedang memperhalusi sijil PLKN supaya dapat dimanfaatkan pelatih bagi mendapat tempat di peringkat IPT mahupun pekerjaan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Seorang ahli akademik khuatir Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) akan tersasar daripada matlamat asalnya untuk memupuk disiplin dan semangat patriotisme, jika sijilnya dijadikan sebagai merit untuk kemasukan universiti mahupun pekerjaan.

Anuar Ahmad dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkata berpendapat kerajaan harus mencontohi Singapura dengan mewajibkan semua generasi muda untuk menyertai PLKN, tanpa mengira bangsa dan status sosial.

“PLKN ini jelas program untuk menjadikan generasi muda lebih prihatin soal negara. Justeru kita kena fokus perkukuh sebagai agenda kenegaraan.

“Tak patut kaitkan tujuan lain misalnya untuk dapat pekerjaan, masuk universiti dan sebagainya. Tak selari hasrat asal,” kata timbalan pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia (Minda UKM) itu kepada FMT.

Anuar Ahmad
Anuar Ahmad.

Anuar berkata, program tersebut wajar diperkukuh sebagai satu platform bagi generasi muda merasai pengalaman kenegaraan secara serius.

“Apabila kita mula cari perkara lain untuk mengukuhkan PLKN ia akan lari tujuan sebenar,” katanya.

Khamis lalu, Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul berkata kerajaan sedang memperhalusi sijil PLKN supaya dapat dimanfaatkan pelatih bagi mendapat tempat di peringkat institut pengajian tinggi mahupun pekerjaan.

Menurutnya, pihaknya sudah membincangkannya bersama Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara Ya’cob Samiran dan keputusan dijangka diumumkan dalam masa terdekat.

Menyambut baik langkah itu, ahli ekonomi, Yusof Saari berkata model baharu PLKN seharusnya merangkumi elemen berasaskan pekerjaan termasuk pendedahan kepada dunia kerja sebenar, pembangunan kemahiran insaniah serta pemupukan daya tahan dan pemikiran adaptif.

Yusof Saari
Yusof Saari.

Penasihat ekonomi Kementerian Sumber Manusia dan Emiratisasi, Emiriah Arab Bersatu (UAE) itu berpendapat langkah itu penting untuk anak-anak muda berfikiran lebih terbuka dan berdaya tahan dalam menghadapi realiti pasaran kerja yang semakin mencabar dan berdaya saing.

“Sebagai perbandingan, negara seperti UAE telah berjaya melaksanakan pelbagai program berasaskan pengalaman kerja merentasi semua peringkat pendidikan.

“Contohnya program seperti Work-Readiness Pathways di Higher Colleges of Technology (HCT) menggabungkan pembelajaran akademik dengan latihan industri sebenar termasuk melalui program latihan industri wajib, inkubasi keusahawanan dan kerjasama dengan sektor swasta,” katanya.

Tambahnya, pelajar turut diberi pendedahan awal mengenai budaya kerja melalui latihan industri berstruktur dan modul pembangunan kerjaya pada peringkat sekolah menengah.

“Ini terbukti pentingnya untuk kerajaan melihat pembinaan minda anak muda yang bukan sekadar dari sudut patriotisme, tetapi juga dari segi kesediaan mereka untuk menjadi produktif dan relevan dalam ekonomi moden,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.