
Dapatan awal teknikal berkenaan dikeluarkan Puspakom.
Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook, berkata keadaan fizikal bagi brek bas, semua ‘brake lining’ dan ‘brake drum’ bagi semua gandar masih berada dalam keadaan memuaskan.
Katanya, berdasarkan pemerhatian dan siasatan teknikal, tiada bukti merujuk kepada kegagalan sistem mekanikal yang menyebabkan nahas.
“Tidak terdapat sebarang ketidakseragaman pada ‘brake drum’ mahupun kenipisan pada ‘brake lining’.
“Tiada petunjuk kegagalan mekanikal pada aspek-aspek ini yang boleh dikaitkan secara langsung sebagai punca kemalangan,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, dari pemeriksaan fizikal tayar, didapati ketebalan bunga tayar juga dalam keadaan memuaskan serta mematuhi piawaian ditetapkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
“Komponen bahagian steering dan suspensi secara menyeluruh adalah dalam keadaan memuaskan.”
Loke berkata, justeru berkemungkinan besar nahas berlaku berpunca faktor lain seperti antaranya faktor manusia dan keadaan jalan.
“Langkah penambahbaikan yang bersesuaian akan dipertimbangkan dan dilaksanakan berdasarkan penemuan akhir nanti, bagi memastikan keselamatan jalan raya terus dipertingkatkan,” katanya.
Semalam, dilaporkan pemandu bas berkenaan, Mohd Amirul Fadhil Zulkifle, 39, mengaku tidak bersalah terhadap 15 pertuduhan memandu secara berbahaya yang dibacakan di hadapan Majistret Muhammad Firdaus Nor Azlan.
Dia dituduh memandu secara berbahaya dan melulu sehingga menyebabkan kematian 15 pelajar UPSI.
Sebelum ini, pemandu bas itu mendakwa kenderaan dipandunya mengalami masalah brek.
Pada 9 Jun, 15 penuntut UPSI maut di Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik-Jeli, selepas bas persiaran membawa 42 pelajar terbabas lalu melanggar pembahagi jalan, selain sebuah kenderaan pelbagai guna turut dilanggar dari bahagian belakang.
Polis Perak juga telah mengesahkan rakaman kamera papan pemuka (dashcam) diterima pihaknya daripada pemilik rakaman, yang memaparkan bas berkenaan dipandu laju sebelum nahas.
Pihak berkuasa menyifatkan rakaman itu ‘bukti penting’ untuk diteliti pegawai penyiasat. Polis juga mendedahkan pemandu bas itu mempunyai 18 saman dengan 13 daripadanya berkait kesalahan memandu laju.