
Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata ia satu inisiatif hasil kerjasama strategik antara Kementerian Komunikasi dengan syarikat penerbangan tambang rendah AirAsia bersempena dengan Kepengerusian Asean 2025 oleh Malaysia.
Beliau berkata tempahan tiket akan dibuka hingga 31 Dis 2025 manakala tempoh penerbangan bermula pada April hingga September 2026, serta butiran dan mekanisme tempahan tiket akan diumumkan oleh JaPen dalam masa terdekat.
“Terima kasih AirAsia atas inisiatif yang murah hati ini. Langkah ini mengiktiraf sumbangan pengamal media dan membuka peluang besar untuk mereka meneroka dan berhubung dengan rantau Asean.

“Kerjasama sebegini juga benar-benar menaikkan semangat HAWANA, meraikan dedikasi dan sumbangan golongan media,” katanya menyampaikan ucapan alu-aluan pada Majlis Kemuncak Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2025 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).
Bertemakan “Kewartawanan Era Baharu: Keseimbangan AI dan Etika”, majlis kemuncak yang dihadiri kira-kira 1,000 pengamal media dari dalam dan luar negara itu dirasmikan oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata setakat 4 Jun lepas, terdapat 12,428 pengamal media aktif yang berdaftar dengan JaPen dan memiliki Kad Perakuan Media, termasuk 12,297 warganegara Malaysia yang berkhidmat dalam pelbagai platform media cetak, penyiaran, digital dan portal berita dalam talian.
Sambutan HAWANA 2025 dianjurkan oleh Kementerian Komunikasi dengan Bernama selaku agensi pelaksana bertujuan mengiktiraf peranan dan sumbangan pengamal media dalam pembangunan negara.
Tarikh 29 Mei telah diwartakan sebagai Hari Wartawan Nasional bersempena dengan penerbitan edisi pertama akhbar Utusan Melayu pada 29 Mei 1939, bagi meraikan sumbangan pemain industri yang menjadi medium dalam membentuk minda masyarakat bermaklumat.