
Ketua Unit Bahasa Malaysia dan Video FMT Zahrul Alam Yahya Shahir berkata media memainkan peranan penting dalam menyalurkan data yang digunakan untuk melatih sistem AI.
Bercakap pada Forum Media Hawana, beliau menyatakan AI berfungsi dengan lebih baik apabila dilatih menggunakan kandungan tersusun, kerana teknologi itu lebih mengutamakan kandungan yang menggariskan isu dengan jelas dan menerangkan masalah.
“Kandungan yang AI hasilkan sebenarnya datang daripada kita, jadi sebab itulah saya katakan, sudah tiba masanya kita memperkasakan AI dengan kandungan kita… kandungan analitik yang kita masukkan dalam media sosial dan sebagainya.
“Jangan takut dengan AI, kita (media) telah lama bertahan dengan AI,” katanya pada forum ‘AI & Media: Tool, Threat or Opportunity?’.
Sementara itu, Pengarang Kanan Astro Awani Nazri Kahar menegaskan teknologi seperti AI tidak seharusnya dilihat sebagai ancaman, sebaliknya peluang penting yang perlu dimanfaatkan oleh warga media.
Beliau berkata dunia kewartawanan kini berada pada satu titik persimpangan yang kritikal dan memerlukan pengamal media untuk segera menyesuaikan diri dengan perkembangan teknologi.
“Ini merupakan masa yang begitu penting untuk kita ambil peluang. Kita jangan anggap teknologi sebagai musuh yang akan melenyapkan dunia media. Sebaliknya, kita perlu menetapkan sempadan, adaptasi dan terus bergerak ke hadapan,” katanya.
Nazri berkongsi pengalaman peribadi pada 2010 ketika beliau melakukan liputan secara langsung pada PRK Sibu menggunakan peranti mudah alih iPhone, tanpa kebergantungan kepada peralatan siaran konvensional yang mahal seperti satelit.
“Saya masih ingat, kami buat siaran langsung terus dari lokasi hanya menggunakan iPhone. Pada waktu itu, ia satu pendekatan baharu. Kami gunakan Skype, dan hasilnya memuaskan,” katanya sambil menambah pendekatan berkenaan membuka mata ramai pihak terhadap potensi teknologi dalam bidang kewartawanan.
Mengulas lanjut, Nazri berkata organisasi media tidak boleh terikat dengan pendekatan lama semata-mata kerana isu seperti kualiti audio dan visual, sebaliknya harus mendahulukan nilai berita dan ketepatan masa dalam penyampaian maklumat.
Sesi forum yang dikendalikan oleh penyampai berita Bernama TV dan wartawan penyiaran Jessy Chahal disertai lebih 250 wartawan, pengamal media, ahli akademik dan pelajar.
Turut hadir, Presiden Institut Akhbar Malaysia (MPI) Yong Soo Heong, Ketua Pegawai Eksekutif MPI Ainol Amriz Ismail, Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Nur-ul Afida Kamaludin, serta Ketua Pengarang Bernama Arul Rajoo Durar Raj yang juga Pengarah Projek Hawana 2025.
Bertemakan ‘Kewartawanan Era Baharu: Keseimbangan AI dan Etika’, perhimpunan terbesar pengamal media Malaysia itu dianjurkan oleh Kementerian Komunikasi menerusi Bernama sebagai agensi pelaksana.