
Ketua Polis Brickfields Ku Mashariman Ku Mahmood berkata dalam kejadian kira-kira 10.50 malam itu, ketiga-tiga lelaki warga tempatan berusia 30 hingga 50 tahun itu sedang makan bersama beberapa rakan mereka, lapor Bernama.
Katanya, mereka kemudiannya dihampiri dua lelaki menaiki motosikal dan terus melepaskan beberapa das tembakan ke arah kumpulan itu.
“Seorang daripada mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat tembakan dan mayatnya dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk bedah siasat.
“Dua lagi mangsa menerima rawatan di PPUM dengan seorang daripada mereka mengalami kecederaan serius manakala seorang lagi cedera ringan,” katanya yang dipetik sebagai berkata.
Ku Mashariman berkata siasatan lanjut sedang dijalankan termasuk pemeriksaan rakaman kamera litar tertutup, mengenal pasti motif kejadian dan suspek yang terlibat.
“Tiada perkara yang perlu menggusarkan orang awam buat masa ini dan polis akan menyiasat kes ini dari pelbagai sudut.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta menghubungi polis atau balai berdekatan bagi membantu siasatan,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.