
Ketuanya, Mustapha Sakmud berkata, PKR Sabah menyokong penuh sebarang usaha berterusan oleh SPRM untuk membanteras rasuah tanpa mengira kedudukan, pangkat mahupun pengaruh politik.
“Rasuah musuh pembangunan, dan jika dibiarkan terus berakar, akan merosakkan kepercayaan rakyat terhadap sistem pentadbiran dan pengurusan sumber negeri.
“Sudah tiba masanya Sabah memperkukuh standard urus tadbir yang lebih tinggi dan berwibawa,” katanya dalam kenyataan.
Semalam, Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki berkata, sekurang-kurangnya dua individu akan dituduh dalam masa terdekat berhubung dakwaan skandal membabitkan Adun Sabah.
Dalam pada itu, Mustapha yang juga timbalan menteri pendidikan tinggi berkata, isu pelesenan lombong mineral telah lama menjadi perhatian rakyat Sabah.
“PKR Sabah berpegang teguh pada prinsip bahawa ketelusan, integriti dan akauntabiliti mesti menjadi asas dalam setiap keputusan yang melibatkan sumber kekayaan negeri,” katanya.
Beliau turut menggesa SPRM meneliti aduan salah guna kuasa melibatkan pengurusan sumber air yang didakwa semakin kritikal.