
Rakaman video lelaki itu memukul pemandu lori terbabit dalam kejadian kira-kira 2.30 petang tular di Facebook.
Ketua Polis Johor Bahru Utara Balveer Singh Mahindar Singh berkata pemandu lori yang juga lelaki tempatan 31 tahun membuat laporan pada 5.35 petang Ahad lalu.
“Ketika menunggu giliran membayar tol, pengadu yang memandu lori membunyikan hon kerana Proton Wira di hadapannya dikatakan tidak bergerak walaupun palang tol telah terbuka.
“Berikutan itu, seorang lelaki tidak dikenali keluar dari pintu penumpang kereta dan meminta pengadu membuka pintu lori,” katanya menurut Berita Harian.
Beliau berkata pengadu mendakwa dipukul di muka dan kepala beberapa kali, sebelum mempertahankan diri dengan menendang lelaki itu keluar dari lori.
Menurutnya kejadian itu dipercayai berpunca daripada perasaan tidak puas hati kerana dihon dan pengadu dilaporkan sakit di belakang kepala.
Katanya kes disiasat mengikut Seksyen 160 Kanun Keseksaan kerana bergaduh di tempat awam yang membawa hukuman penjara maksimum enam bulan atau denda hingga RM1,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Orang ramai mempunyai maklumat berkaitan diminta menghubungi IPD Johor Bahru Utara melalui talian 07-5563122 bagi membantu siasatan.