
“Dalam pilihan raya tidak wujud istilah pertandingan mesra kerana semua orang mahu menang,” kata Johan Ariffin Samad kepada FMT sambil menambah aturan sedemikian tidak mungkin berlaku disebabkan ‘dinamik politik rumit’ negeri itu.
Kerajaan negeri kini diterajui Gabungan Rakyat Sabah (GRS), manakala Barisan Nasional (BN) di blok pembangkang susulan perpecahan dua gabungan itu pada awal 2023.
Namun, GRS dan BN kekal sebagai rakan dalam kerajaan di peringkat persekutuan, bersama Pakatan Harapan (PH) serta Gabungan Parti Sarawak.
Johan bagaimanapun tidak menolak kemungkinan dua gabungan itu kembali berganding bahu selepas pilihan raya.
“Bak kata orang, tiada apa yang kekal dalam politik.”
Selasa lalu, Salleh yang juga bendahari Umno Sabah mencadangkan GRS dan BN bekerjasama pada pilihan raya.
Beliau mengakui mungkin berlaku pertindihan di kawasan tertentu, justeru mencadangkan ‘aturan matang dan saling menghormati’ yang membolehkan kedua-dua gabungan meletakkan calon di kerusi tertentu.
Salleh berkata, dalam keadaan itu parti dalam gabungan bersetuju bertanding tetapi kekal bersatu, dengan persefahaman ‘siapa pun yang menang, kerusi itu kekal dalam gabungan’.
Seorang penganalisis enggan dinamakan senada dengan Johan dan menganggap aturan itu ‘tidak dapat dilaksanakan’.
“Salleh jelas mahu berkompromi, tetapi cadangannya sekadar menutup keretakan dalam hubungan GRS dan BN.”
Menurutnya, hubungan Pengerusi GRS Hajiji Noor dan Ketua Umno Sabah Bung Moktar Radin tidak boleh dibaiki lagi, justeru kerjasama GRS dan BN ‘hampir mustahil’.
Selasa lalu, Setiausaha Agung GRS, Masidi Manjun dipetik Borneo Post berkata, gabungan itu mungkin berganding bahu dengan PH, tetapi keberatan bekerjasama dengan BN pada PRN ke-17 yang perlu diadakan menjelang Disember ini.
Bilcher Bala dari Universiti Malaysia Sabah pula melihat idea Salleh tidak mustahil dilaksanakan, walaupun mungkin mencabar.
Katanya, Sabah mempunyai pelbagai parti politik, dengan setiap satu mempunyai kepentingan dan pangkalan pengundi tersendiri, jadi menguruskan pertandingan mesra memerlukan perancangan rapi serta saling menghormati.
Beliau berkata, kejayaan aturan sedemikian amat bergantung kepada kematangan politik dan keupayaan gabungan mengimbangi saingan dengan kerjasama.
“Landskap politik Sabah lebih berpecah dan konsep pertandingan mesra mungkin berdepan lebih banyak cabaran disebabkan bilangan parti lebih tinggi serta kerumitan politik tempatan.
“Ia memerlukan tahap kepercayaan dan kerjasama tinggi antara parti terlibat, yang sukar dicapai tetapi tidak mustahil dengan pendekatan betul.”
Rakan sekerja Bilcher, Lee Kuok Tiung berkata, pertandingan mesra akan membantu mengekalkan keharmonian antara rakan sekutu.
“Strategi ini membantu meminimumkan ‘pendarahan dalaman’ dan mengurangkan risiko sabotaj dari dalam, khususnya ahli yang tidak dicalonkan.”