
Beliau berkata, ia perlu mengambil kira cabaran didepani syarikat pengusaha bagi menjamin pengimbangan dasar bakal dilaksanakan.
“Kita kena lihat juga tambang bas misalnya untuk mengimbangi bagi memastikan pengusaha juga mampu untuk lakukan segala syarat.
“Semua akan dibincang. Langkah lanjut atau syarat tambahan mahupun cara pelaksanaannya perlu kita buat secara berperingkat,” katanya selepas majlis perasmian penggunaan speed limitation device (SLD) bagi kenderaan perdagangan di Scania (Malaysia) Sdn Bhd.
Terdahulu, FMT melaporkan pakar pengangkutan dari Universiti Putra Malaysia Law Teik Hua menggesa kerajaan mewajibkan segera pemasangan dashcam pada kenderaan berat komersial, susulan kehilangan 24 nyawa dalam dua kejadian tragis.
Katanya, kemalangan mengakibatkan sembilan anggota Unit Simpanan Persekutuan (FRU) maut di Teluk Intan pada Mei diikuti nahas membabitkan 15 penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris di Gerik, Isnin lalu harus menjadi peringatan.
Law berkata, Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) perlu mewajibkan segera pemasangan dashcam yang mengikut perancangan hanya dikuat kuasa pada suku pertama tahun depan, bagi membantu pemantauan kelakuan berisiko pemandu serta alat bukti menyiasat kemalangan.
Laporan petugas khas kemalangan membabitkan trak FRU dengan sebuah lori tipper dikeluarkan semalam memaklumkan pemasangan dashcam masih belum diwajibkan ketika ini.
Namun, APAD sedang mengemas kini garis panduan keselamatan untuk dijadikan Peraturan-peraturan Pengangkutan Awam Darat (Pengurusan Keselamatan) dengan pemasangan dashcam dijangka diwajibkan bermula suku pertama 2026.