Nahas UPSI: Motac keluar notis pemeriksaan, surat tunjuk sebab

Nahas UPSI: Motac keluar notis pemeriksaan, surat tunjuk sebab

Tindakan diambil terhadap entiti berkaitan selepas siasatan dijalankan ikut Akta Industri Pelancongan.

Isnin lepas, 15 penuntut UPSI maut apabila bas sewa khas yang mereka naiki dari Jertih, Terengganu, ke kampus utama di Tanjung Malim, Perak terlibat dalam kemalangan di laluan JRTB. (Gambar Bernama)
PUTRAJAYA:
Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) mengeluarkan notis pemeriksaan dan surat tunjuk sebab kepada beberapa entiti perniagaan yang berkaitan dengan kemalangan bas persiaran melibatkan penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Isnin lalu.

Motac memaklumkan, tindakan diambil selepas pihaknya menjalankan siasatan di bawah Akta Industri Pelancongan 1982, susulan laporan kemalangan yang berlaku di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) berhampiran Tasik Banding, Gerik, Perak.

“Motac juga akan bekerjasama dengan polis, Agensi Pengangkutan Awam Darat (Apad) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi menyelesaikan siasatan mengikut peruntukan undang-undang agar hukuman setimpal dikenakan dan keluarga mangsa mendapat pembelaan sewajarnya.

“Tindakan lanjut akan diambil setelah selesai siasatan,” katanya dalam kenyataan.

Motac memaklumkan pihaknya juga menziarahi mangsa serta keluarga terlibat dalam insiden meragut 15 nyawa itu.

“Motac merakamkan takziah kepada semua keluarga mangsa dan mendoakan agar semua pelajar yang tercedera diberikan kesembuhan segera.”

Dalam kejadian itu, 15 penuntut UPSI maut apabila bas sewa khas dinaiki mereka dari Jertih, Terengganu, ke kampus utama di Tanjung Malim, Perak, terbalik selepas terlibat kemalangan di laluan JRTB, yang turut membabitkan sebuah Perodua Alza.

Kemalangan mengakibatkan 33 individu lain cedera, termasuk pemandu dan kelindan bas, serta pemandu dan tiga penumpang Perodua Alza.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.