Lelaki kena ‘Love Scam’ rugi RM200,000

Lelaki kena ‘Love Scam’ rugi RM200,000

Mangsa berusia 58 tahun pada mulanya berkenalan dengan wanita Jepun di Facebook April lepas.

scammers
Orang ramai dinasihatkan jangan mudah percaya dengan individu tidak dikenal pasti dan semak dahulu sebelum melakukan sebarang transaksi kewangan, kata Ketua Polis Pahang Yahaya Othman.
KUANTAN:
Seorang lelaki kerugian lebih RM200,000 akibat terperdaya dengan sindiket penipuan cinta atau Love Scam menerusi media sosial.

Ketua Polis Pahang, Yahaya Othman, berkata lelaki berusia 58 tahun itu telah berkenalan dengan seorang wanita warga Jepun menerusi Facebook pada April lepas.

Beliau berkata selepas sebulan berkenalan, wanita itu memberitahu mangsa terdapat kiriman barangan dari Turki ke Jepun atas namanya, tetapi telah ditahan di pejabat imigresen di Turki.

“Suspek telah meminta pinjaman wang daripada mangsa untuk mendapatkan semula barangan tersebut dengan pulangan dua kali ganda dijanjikan oleh suspek setelah barangan berkenaan diterima,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Yahaya berkata mangsa juga telah melakukan 50 transaksi wang ke akaun bank wanita terbabit hingga mengalami kerugian RM200,000 hasil wang simpanannya.

Sehubungan dengan itu, beliau menasihati orang ramai supaya tidak mudah percaya dengan individu yang tidak dikenal pasti dan semak dahulu sebelum membuat transaksi kewangan serta sahkan nombor telefon dan akaun menerusi https://semakmule.rmp.gov.my.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.