Laporan Yusoff disiasat bersama 2 lagi kes dadah, pistol, kata KPN

Laporan Yusoff disiasat bersama 2 lagi kes dadah, pistol, kata KPN

Razarudin Husain berkata tiada keperluan ambil keterangan Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkait laporan polis dibuat bekas pembantu penyelidik itu.

Ketua Polis Negara Razarudin Husain berkata tindakan telah diambil ketika aduan dibuat oleh Yusoff Rawther di peringkat awal.
PETALING JAYA:
Polis mengesahkan laporan Yusoff Rawther pada 12 Sept tahun lalu disiasat bersama dua lagi kertas siasatan lain berkaitan penemuan dadah dan pistol.

Ketua Polis Negara, Razarudin Husain, juga berkata tiada keperluan mengambil keterangan Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkait laporan dibuat bekas pembantu penyelidik itu.

“Tiada keperluan untuk mengambil kenyataan perdana menteri dalam kes tersebut memandangkan tindakan telah diambil ketika aduan dibuat oleh Yusoff di peringkat awal.

“Pada peringkat tersebut, polis telah mengemukakan ke Pejabat Peguam Negara dengan cadangan pertuduhan untuk kedua-dua kes tersebut dan berpuas hati bahawa setakat keterangan yang ada pada masa tersebut adalah mencukupi untuk menuduh Yusoff tanpa memanggil mana-mana pihak lain untuk melengkapkan siasatan,” katanya dalam kenyataan.

Semalam, peguam Yusoff, Rafique Rashid Ali menuntut ketua polis negara mengemas kini status laporannya tahun lalu yang mendakwa diperangkap.

Beliau memaklumkan anak guamnya memberi tempoh tujuh hari kepada polis untuk berbuat demikian.

Sementara itu, Razarudin berkata pihaknya akan meneliti penghakiman penuh perbicaraan kes Yusoff untuk melihat jika wujud kelompangan dan kelemahan ketika siasatan dijalankan.

“Polis sedia menambah baik melalui penilaian dalaman dan semakan semula SOP penyiasatan. Setiap laporan yang dilaporkan akan disiasat dengan adil dan tanpa prejudis oleh polis walaupun melibatkan suspek berprofil tinggi termasuk dalam kes Yusoff.

“Manakala, keputusan untuk pertuduhan dilaksanakan selaras Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan yang diputuskan oleh Jabatan Peguam Negara,” katanya.

Yusoff yang sebelum ini direman selama sembilan bulan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam daripada pertuduhan mengedar dadah dan memiliki dua pistol palsu.

Hakim Jamil Hussin memutuskan pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie bagi kedua-dua pertuduhan, dengan menyatakan kekurangan bukti yang boleh dipercayai untuk menyokong semua elemen kesalahan.

Dalam laporan polis pada September 2024, Yusoff mendakwa beliau telah diperangkap dan turut menyenaraikan beberapa individu didakwa terlibat dalam rancangan itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.