
Bercakap pada Mesyuarat Agung Perwakilan Tahunan ke-90 Koperasi PDRM Berhad, Anwar berkata kerajaan akan memantau prestasi koperasi itu.
“Saya akan luluskan dua atau tiga projek untuk koperasi (ini), tetapi saya mahu lihat laporan daripada koperasi dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) terlebih dahulu.
“Kita akan lihat bagaimana ia boleh kerjasama dengan Kementerian Kewangan untuk cari alternatif dan pastikan koperasi dapat jana keuntungan,” katanya.
Anwar yang juga menteri kewangan berkata, jika koperasi itu menunjukkan prestasi yang baik dalam pelaksanaan projek-projek baharu, kerajaan akan mempertimbangkan untuk membenarkannya mengendalikan lebih banyak projek tahun depan.
“Tetapi koperasi kena buktikan kecekapannya,” tambahnya.
Beliau berkata, kerajaan lebih gemar memberikan projek cekap kos berbanding menghulurkan geran kewangan.
Tambahnya, kerajaan tidak boleh menghapuskan semua hutang Kolej Unikop, tetapi akan menilai prestasinya dalam beberapa tahun akan datang.
Pengarah Pengurusan Bukit Aman Azmi Abu Kassim berkata, Kolej Unikop terbeban dengan hutang sejak 2018, berpunca daripada keputusan buruk yang membawa kepada kerugian dan ketirisan.
Bagaimanapun, beliau tidak mendedahkan jumlah hutang tersebut.