Remaja perlu RM90,000 jalani pembedahan jantung

Remaja perlu RM90,000 jalani pembedahan jantung

Nur Haziqah Mohd Rosdi memerlukan pembedahan segera bagi merawat masalah jantung berlubang dan kecacatan injap.

haziqah
Nur Haziqah Mohd Rosdi dilahirkan dengan masalah jantung berlubang dan kecacatan injap jantung. (Gambar Persatuan Kebajikan Sayap Kasih Malaysia)
PETALING JAYA:
Usia remaja merupakan fasa kehidupan yang paling mengujakan. Ia penuh dengan penemuan diri, impian besar dan harapan masa depan.

Bagaimanapun, bagi Nur Haziqah Mohd Rosdi kehidupannya jauh berbeza. Gadis berusia 14 tahun itu menghidap kecacatan jantung kongenital yang serius dan kini berada dalam keadaan kritikal serta amat memerlukan pembedahan jantung terbuka untuk menyelamatkan nyawanya.

Haziqah dilahirkan dengan kecacatan septum atrium (ASD), iaitu lubang pada dinding antara dua ruang atas jantung. Keadaan ini menyebabkan darah kaya oksigen bercampur dengan darah kurang oksigen, memaksa jantung bekerja lebih keras dan mengurangkan kecekapannya.

Dia turut mengalami mitral regurgitation, satu keadaan di mana injap mitral antara atrium kiri dan ventrikel kiri tidak menutup dengan sempurna, menyebabkan darah mengalir semula ke atrium semasa jantung mengepam darah.

Walaupun keadaan ini dikesan sejak lahir, ibu bapanya menyangka ia tidak serius kerana Haziqah kelihatan sihat dan aktif. Pembedahan untuk menutup lubang tersebut pernah dicadangkan oleh doktor, namun terpaksa ditangguhkan atas faktor kewangan.

Lebih menyulitkan, bapa dan kakak Haziqah juga menghidap sawan serta tidak mampu bekerja. Kedua-duanya berdaftar sebagai orang kurang upaya (OKU), manakala ibunya menjaga keluarga sepenuh masa. Mereka tidak mempunyai pendapatan tetap.

haziqah
Haziqah berharap dia akan sembuh, kembali ke sekolah dan satu hari nanti menjaga keluarganya. (Gambar Persatuan Kebajikan Sayap Kasih Malaysia)

Tahun ini, keadaan Haziqah semakin buruk apabila dia mengalami kekurangan oksigen yang teruk, sesak nafas dan sakit dada. Pemeriksaan dan ujian menunjukkan lubang di jantungnya semakin membesar dan dia kini mengalami kegagalan jantung.

Haziqah perlu menjalani pembedahan segera untuk menutup lubang di jantung dan membaiki injap mitral — satu-satunya peluang untuk menyelamatkan nyawanya dan meningkatkan kualiti hidupnya. Namun, kos pembedahan berjumlah RM90,000 adalah di luar kemampuan keluarganya.

Keluarganya kini mendapatkan bantuan daripada Persatuan Kebajikan Sayap Kasih Malaysia. Menurut pegawai kes Ben Wong, kempen kutipan dana untuk pembedahan Haziqah dimulakan pada 6 Jun lalu.

“Sumbangan anda, walaupun kecil, mampu membawa Haziqah selangkah lebih dekat kepada pemulihan. Dengan menderma, anda memberi harapan, senyuman, dan peluang untuknya membesar dengan sihat,” katanya kepada FMT Lifestyle.

Bagi Haziqah, apa yang paling penting ialah kesejahteraan keluarganya. “Saya tak nak ibu risau. Saya nak sembuh, kembali ke sekolah, dan suatu hari nanti jaga keluarga saya,” katanya.

Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Persatuan Kebajikan Sayap Kasih Malaysia, Ambank: 8881 0609 91545.

Sila letak ‘CASE 53’ sebagai rujukan dalam transaksi anda dan sila email resit sumbangan ke [email protected] atau hantar melalui WhatsApp kepada Ben Wong di 010-238 7072.

Untuk maklumat lanjut sila lawat laman Persatuan Kebajikan Sayap Kasih Malaysia di Facebook.

Persatuan Kebajikan Sayap Kasih Malaysia
118 & 120 Jalan Gasing,
46000 Petaling Jaya, Selangor

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.