
Mengulas spekulasi berkait Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Zafrul Aziz susulan hasratnya menyertai PKR, Chin Yee Mun berkata usikan seperti ‘Langkah Ampang’ atau ‘Langkah Sungai Tua’ tidak sepatutnya berbangkit.

Menurut penganalisis dari Universiti Tunku Abdul Rahman itu, langkah mengarahkan pengosongan kerusi tidak kira Parlimen atau DUN boleh dianggap pembaziran masa dan wang yang akhirnya mencetuskan kemarahan orang ramai.
“Saya rasa Tengku Zafrul masih boleh berkhidmat sebagai orang penting pentadbiran negara melalui cara lain (selepas tempoh Ahli Dewan Negara tamat).
“Umpamanya melantiknya sebagai penasihat khas perdana menteri atau pengerusi majlis tertentu untuk memastikan beliau terus menyumbang kepada negara,” katanya kepada FMT.
Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia turut senada, yang tindakan mengadakan PRK mengejut hanya mengundang kemarahan rakyat dan perbalahan dalam parti.

“Rakyat tak suka dan mereka hanya mahu wakil rakyat bekerja serta fokus,” katanya.
Isnin lalu, Tengku Zafrul yang mengumumkan keluar Umno pada 31 Mei lalu menafikan spekulasi PRK akan diadakan di Selangor bagi membuka laluan beliau menjadi menteri besar.
Bekas ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno itu turut menegaskan tidak bersetuju dengan PRK tak perlu.
Sebelum ini, bekas pemimpin Umno Isham Jalil dilaporkan mendakwa Menteri Besar Selangor Amirudin Shari akan diarah mengosongkan kerusi DUN Sungai Tua bagi membolehkan Tengku Zafrul bertanding PRK.
Jika menang di kerusi itu, Tengku Zafrul dikatakan berpeluang mengambil alih jawatan menteri besar.
Amirudin kemudian menafikan kerusi dimenanginya pada PRN 2023 akan dikosongkan bagi memberi laluan kepada individu lain bertanding, proses yang menurutnya bukan semudah disangka.
Memetik pemimpin akar umbi, China Press pula melaporkan PKR berkemungkinan meletakkan Tengku Zafrul bertanding kerusi Parlimen di Selangor pada PRU, antaranya Ampang yang ketika ini disandang Rodziah Ismail.