Pemandu bas nahas korban 15 pelajar UPSI ditahan

Pemandu bas nahas korban 15 pelajar UPSI ditahan

Lelaki berusia 39 tahun itu ditahan polis selepas dibenarkan keluar hospital petang tadi.

Ketua Polis Perak Noor Hisam Nordin, berkata pemandu bas persiaran itu dikehendaki dalam siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Pemandu bas dalam nahas mengorbankan 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pada Isnin lalu ditahan polis sejurus dibenarkan keluar hospital.

Ketua Polis Perak Noor Hisam Nordin, berkata lelaki berusia 39 tahun itu ditahan sekitar 5.45 petang tadi.

Beliau berkata, suspek akan dibawa ke Gerik bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Kita menunggu arahan lanjut daripada pengarah pendakwaan negeri sama ada pemandu bas itu boleh didakwa di mahkamah esok atau sebaliknya.

“Di pihak polis, kita sudah bersedia,” katanya kepada Sinar Harian.

Lelaki warga tempatan itu sebelum ini menerima rawatan di Hospital Taiping selepas mengalami kecederaan di tangan sejak hari pertama nahas.

Pemandu itu sebelum ini memohon maaf kepada keluarga mangsa selepas mendakwa brek bas tidak berfungsi secara tiba-tiba.

Hari ini, dilaporkan Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook, berkata dakwaan masalah brek tidak berfungsi akan dibuktikan dalam masa terdekat.

Katanya, laporan siasatan melibatkan masalah teknikal itu akan diperoleh daripada Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) dalam tempoh sehari dua ini.

Dalam nahas pada awal pagi Isnin, 15 penuntut UPSI maut di Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik-Jeli, selepas bas persiaran membawa 42 pelajar terbabas lalu melanggar pembahagi jalan, selain sebuah kenderaan pelbagai guna turut dilanggar dari bahagian belakang.

Pada 9 Jun, Hisam mengesahkan rakaman kamera papan pemuka (dashcam) diterima pihaknya daripada pemilik rakaman, yang memaparkan bas berkenaan dipandu laju sebelum nahas.

Beliau menyifatkan rakaman itu ‘bukti penting’ untuk diteliti pegawai penyiasat. Polis juga mendedahkan pemandu bas itu mempunyai 18 saman dengan 13 daripadanya berkait kesalahan memandu laju.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.