
Speaker Dewan Rakyat, Johari Abdul, berkata pihaknya sudah berbincang mengenai perkara itu bersama Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) Ya’cob Samiran.
“Ini adalah satu ‘credential’ (bukti kelayakan) yang boleh diterima semua pihak, bukan sahaja kerajaan malah untuk masyarakat. (Dengan sijil ini) kita sudah pastikan bahawa pelatih ini sudah didedahkan pelbagai ilmu setelah mereka tamat latihan PLKN,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menghadiri sesi dialog bersama pelatih PLKN di Kem Rejimen 505 Askar Wataniah.
Johari berkata, keputusan perbincangan berkenaan dijangka diumumkan dalam masa terdekat.
“Kita sedang bekerja dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan beberapa pihak lain supaya sijil yang dikeluarkan itu ada merit. Kalau tidak ia akan jadi seperti sijil biasa, kita mahukan sijil itu bernilai,” katanya.
Sementara itu, Ya’cob berkata beberapa pelatih PLKN 3.0 berjaya menyertai perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan akan mulakan latihan di Pusat Latihan Asas Tentera Darat pada siri akan datang.
“Kalau kita lihat siri lepas, kira-kira 60% daripada mereka yang menyertai PLKN 3.0 memilih untuk berkhidmat dalam pasukan beruniform, sama ada dalam angkatan tetap mahupun angkatan simpanan,” katanya.