
Timbalan presiden Bersatu menyatakan keyakinan wujud konspirasi dan penganiayaan terhadap Yusoff, yang hari ini dilepas dan dibebaskan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur daripada tuduhan mengedar dadah dan memiliki pistol tiruan.
“Apa jadi sekiranya keputusan di bawah pertuduhan Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya dan Seksyen 36(1) Akta Senjata tadi tidak memihak kepada Yusoff? Orang tidak bersalah akan dipenjara seumur hidup,” kata Hamzah dalam kenyataan.
Hamzah yang juga Ahli Parlimen Larut tidak menamakan mana-mana pihak dalam kenyataan diterbitkan di Facebook itu.
Hakim membebaskan Yusoff tanpa dipanggil membela diri, selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie bagi kedua-dua pertuduhan, kerana ia tidak membuktikan semua elemen kesalahan dengan bukti yang boleh dipercayai.
Menurutnya, pihak pendakwaan gagal membuktikan bekas pembantu penyelidik itu mempunyai pengetahuan, penjagaan dan kawalan ke atas dadah dan pistol tiruan.
Yusoff didakwa mengedar ganja seberat 305g yang ditemui dalam kenderaan itu ketika ia diletakkan di hadapan surau polis Kuala Lumpur pada 10.15 pagi, 6 Sept 2024.
Dadah itu didakwa dibungkus dalam beg plastik hitam.
Dia juga didakwa memiliki pistol tiruan itu di luar Kondominium Senada di Jalan Bukit Kiara pada 9.25 pagi hari sama.
Dakwaan bagi pertuduhan memiliki senjata api palsu dikemukakan mengikut Seksyen 36(1) Akta Senjata, membawa hukuman maksimum penjara setahun, denda sehingga RM5,000, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan mengedar dadah, dakwaan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya, memperuntukkan hukuman mati atau penjara 30 tahun serta sebatan tidak kurang daripada 12 sebatan.
Pihak pembelaan sebelum ini berhujah bahawa dadah dan pistol tiruan itu diletakkan secara sengaja untuk memerangkap Yusoff.
Jamil yang akan bersara pada November juga berkata, dua pegawai penyiasat itu gagal menyiasat dakwaan Yusoff terhadap pegawai yang merakam percakapannya, ketika dalam tahanan, bahawa dia mangsa perangkap individu tertentu.