
Ketua Polis Seberang Perai Tengah, Helmi Aris, berkata pihaknya menerima maklumat daripada orang awam mengenai kejadian pada 1.05 pagi, memaklumkan terdengar satu bunyi letupan kuat di kawasan perumahan terbabit.
“Siasatan polis mendapati letupan dipercayai berpunca daripada mercun dibaling ke dalam sebuah rumah dan impak letupan itu telah menyebabkan dua rumah bersebelahan turut mengalami kerosakan.
“Kejadian telah menyebabkan ketiga-tiga rumah rosak pada bahagian siling dan halaman rumah. Turut mengalami kerosakan kenderaan di dua rumah,” katanya menurut Bernama.
Helmi berkata, berdasarkan siasatan awal pihaknya tidak menolak kemungkinan insiden disebabkan masalah hutang dan perbuatan itu disyaki dilakukan dua lelaki menaiki sebuah kereta, namun siasatan lanjut masih dijalankan.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6 Akta Bahan Letupan 1957.
Saksi awam yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta tampil ke IPD Seberang Perai Tengah bagi membantu siasatan atau berhubung dengan pegawai penyiasat kanan Assan Alimudin di talian 012-4418081.