Tengku Zafrul akan ke AS runding tarif

Tengku Zafrul akan ke AS runding tarif

Menteri pelaburan, perdagangan, dan industri akan berlepas minggu depan berjumpa wakil perdagangan AS di Washington.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Zafrul Aziz menekankan kepentingan perbincangan berterusan dan mengulangi kesediaan Malaysia mencari jalan penyelesaian membina. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Zafrul Aziz akan ke Washington pada 18 Jun untuk meneruskan rundingan berkaitan tarif dikenakan Amerika Syarikat (AS) ke atas Malaysia.

Beliau berkata, perkara itu telah dimaklumkan olehnya kepada Kabinet hari ini.

“Saya akan ke AS minggu depan dan kita akan meneruskan rundingan secara fizikal. Sebelum ini, perbincangan itu berterusan secara dalam talian.

“Saya akan berjumpa dengan Wakil Perdagangan AS (USTR) minggu depan di Washington,” katanya menurut Bernama selepas menyaksikan majlis pemeteraian Pembiayaan Bersindiket dan Skim Bekalan Tenaga Boleh Baharu Korporat DayOne, Kuala Lumpur.

Beliau akan mengadakan perjumpaan bersama USTR, Jamieson Greer serta wakil-wakil pentadbiran AS dan juga pelabur, katanya.

Di samping itu, Tengku Zafrul juga akan mengambil peluang bertemu wakil beberapa dewan perniagaan, syarikat, dan kumpulan berkepentingan termasuk Dewan Perniagaan Amerika Malaysia (AMCHAM) dan Majlis Perniagaan AS-Asean.

Pada 24 April lalu, Tengku Zafrul mengetuai delegasi peringkat tinggi ke Washington untuk mengadakan perbincangan dengan Setiausaha Perdagangan AS Howard Lutnick dan Greer.

Semasa pertemuan itu, Tengku Zafrul menekankan kepentingan mengadakan perbincangan secara berterusan dan mengulangi kesediaan Malaysia mencari jalan penyelesaian membina terhadap kebimbangan disuarakan AS.

Malaysia menyatakan keterbukaan mengadakan rundingan dalam empat bidang utama: mengurangkan defisit perdagangan, menangani isu halangan bukan tarif, mengukuhkan perlindungan dan keselamatan teknologi serta meneroka potensi perjanjian perdagangan dua hala.

Pada 2 April lalu, Presiden AS Donald Trump mengumumkan tarif terhadap kira-kira 60 negara termasuk 24% ke atas kebanyakan barangan Malaysia.

Namun, tarif itu telah ditangguhkan 90 hari bagi kebanyakan negara untuk membolehkan rundingan perdagangan diadakan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.